Johor Specialist Hospital cipta sejarah laksana pembedahan gegendang secara sedar pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Specialist Hospital cipta sejarah laksana pembedahan gegendang secara sedar pertama di Malaysia

Johor Specialist Hospital. - Foto ihsan KPJ Healthcare Berhad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 JunKPJ Healthcare Berhad mencipta sejarah apabila Johor Specialist Hospital (JSH) berjaya melaksanakan pembedahan mastoid dan gegendang telinga secara sedar pertama di Malaysia.

 

Pencapaian berkenaan sekali gus meletakkan JSH antara pusat perubatan terpilih di peringkat antarabangsa yang dapat menawarkan prosedur berteknologi tinggi tersebut menggunakan bius setempat.

 

Dalam kenyataan, kumpulan tersebut berkata, prosedur perintis itu diketuai oleh Pakar Perunding Otorinolaringologi (ENT), Dr Shankar Ramasundram bersama pasukan pembedahan pelbagai disiplin.

 

KPJ_DagangNews2026
PAKAR Otorinolaringologi (Pakar ENT), Dr Shankar Ramasundram, dan pasukan pelbagai disiplin JSH melakukan pembedahan pembaikan mastoid dan gegendang telinga secara sedar yang pertama di Malaysia.


 

"Pembedahan berjaya dilakukan ke atas seorang pesakit berusia 83 tahun yang mengalami masalah telinga berair berpanjangan akibat penyakit kronik pada telinga tengah," kata KPJ Healthcare.

 

 

 

 

 

 

 

Menurutnya, berbeza kaedah konvensional yang menggunakan bius am, pendekatan secara sedar membolehkan pesakit kekal sedar sepanjang pembedahan sambil mengekalkan tahap keselesaan optimum.

 

Kaedah itu juga membolehkan komunikasi berterusan antara pesakit dan pasukan pembedahan sepanjang prosedur serta mengurangkan keperluan penggunaan bius am dalam kes bersesuaian secara klinikal.

 

Chin Keat Chyuan KPJ
CHIN KEAT KHYUAN

 

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan kepakaran khusus dalam rangkaian KPJ Health System serta komitmen kepada pesakit.

 

"Walaupun pendekatan ini tidak sesuai untuk semua pesakit, keupayaan menawarkan pilihan rawatan menunjukkan perkhidmatan penjagaan khusus terus berkembang memenuhi keperluan pesakit," jelasnya.

 

Sebagai sistem kesihatan akademik swasta pertama di Malaysia ujarnya, kumpulan itu memperkukuhkan keupayaan menyokong kecemerlangan klinikal, pembelajaran berterusan dan inovasi seluruh rangkaian.

 

KPJ_DagangNews2026
PAKAR Perunding Otorinolaringologi di Johor Specialist Hospital, Dr Shankar Ramasundram (kiri), bersama pasukan mengambil gambar kenangan bersama pesakit [tiga dari kiri] selepas pembedahan.

 

Sementara itu, Dr Shankar berkata, keunikan prosedur tersebut terletak pada keupayaan mengekalkan komunikasi dengan pesakit sepanjang pembedahan walaupun melibatkan prosedur telinga yang kompleks.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kepakaran teknikal pasukan perubatan, malah menegaskan kepentingan memilih pendekatan rawatan paling sesuai berdasarkan keadaan klinikal setiap pesakit.

 

"Pencapaian ini turut mencerminkan kemajuan berterusan perkhidmatan khusus dalam KPJ Health System menerusi integrasi amalan klinikal bagi memperkukuh penjagaan dan hasil rawatan," katanya. - DagangNews.com