Ibrahim Sani tamatkan tugas sebagai CEO Yayasan Peneraju pada 1 Julai 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ibrahim Sani tamatkan tugas sebagai CEO Yayasan Peneraju pada 1 Julai 2026

Ibrahim Sani
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Yayasan Peneraju (YP), agensi pembangunan bakat Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi bakal melalui perubahan kepimpinan apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Sani akan menamatkan tugasnya berkuat kuasa 1 Julai 2026.

 

Peralihan itu diumumkan oleh Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YP, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Ibrahim sepanjang menerajui organisasi berkenaan sejak November 2023.

 

Menurut Akmal, sepanjang tempoh perkhidmatan Ibrahim, YP telah melalui fasa transformasi penting dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai institusi pembangunan bakat yang lebih strategik dan berteraskan nilai.

 

“Peralihan kepimpinan ini tidak akan menjejaskan kelangsungan operasi YP mahupun hala tuju jangka panjangnya, termasuk sasaran melahirkan 100,000 bakat Bumiputera menjelang tahun 2030.

 

“Selain itu, YP turut menyasarkan untuk melahirkan 10,000 individu yang mempunyai penglibatan ekonomi aktif serta pemilikan dalam pelbagai sektor di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak mengambil alih kepimpinan pada November 2023, Ibrahim telah memacu usaha penjenamaan semula YP daripada pendekatan berfokuskan penciptaan kekayaan kepada pendekatan pembangunan nilai yang lebih menyeluruh.

 

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan beliau ialah platform Talent Bank yang dilancarkan pada 2024, bertujuan mengenal pasti serta membangunkan bakat Bumiputera berpotensi tinggi di seluruh negara.

 

Ibrahim berkata, beliau berbangga dapat memimpin organisasi tersebut dalam tempoh transformasi penting dan yakin asas yang dibina akan membantu YP mencapai sasaran jangka panjangnya.

 

Dalam pada itu, YP memaklumkan proses mengenal pasti pengganti Ibrahim sedang dijalankan dan pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat. - DagangNews.com