Elridge Energy rancang tiga kilang baharu, sasar pengeluaran produk bahan api bio 1.44 juta tan setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elridge Energy rancang tiga kilang baharu, sasar pengeluaran produk bahan api bio 1.44 juta tan setahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Elridge Energy Holdings Berhad terus memperkukuh strategi pengembangan operasi apabila merancang pembinaan tiga kilang pemprosesan baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran bahan api bio di Malaysia dan pasaran serantau.

 

Syarikat itu akan membangunkan kilang baharu di Kuantan, Pahang serta Pasir Gudang, Johor sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian pengeluaran di Semenanjung Malaysia.

 

Pada masa sama, operasi sedia ada di Telok Gong dan Kapar, Selangor kekal sebagai antara pusat pengeluaran utama kumpulan yang menyokong aktiviti pemprosesan bahan biomass untuk pasaran domestik dan eksport.

 

Elridge Energy berkata ia turut merancang membina satu lagi kilang baharu di Sabah bagi memperkukuh kehadiran operasinya di Malaysia Timur serta meluaskan capaian logistik.

 

“Pelan pengembangan ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan kepada kira-kira 1.44 juta metrik tan setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

 

“Peningkatan kapasiti itu turut disasarkan untuk memenuhi permintaan eksport yang semakin kukuh dari pasaran utama seperti Jepun, Thailand dan Timur Tengah, yang sedang mempercepat peralihankan kepada tenaga bersih.

 

“Strategi ini bukan sahaja tertumpu kepada pertambahan kapasiti, tetapi juga pengukuhan kecekapan operasi, rantaian bekalan serta kesinambungan bahan mentah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Dari kiri: Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo serta Pengarah Kewangan, Salihudin Mohd Razali dalam sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini

 

Produk utama kumpulan iaitu isirung kelapa sawit (PKS) kekal sebagai penyumbang terbesar hasil, disokong oleh pelet kayu yang melengkapkan portfolio produk tenaga hijau syarikat.

 

Dari segi kelestarian, Elridge Energy mengekalkan komitmen terhadap amalan tenaga bersih melalui penggunaan bahan mentah biomass yang diperoleh secara bertanggungjawab, selain mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa.

 

Antara pensijilan utama yang dimiliki ialah Green Gold Label Certification bagi PKS serta PEFC Certification bagi wood pellets, yang mengukuhkan kredibiliti syarikat dalam pasaran eksport global.

 

Syarikat juga memaklumkan bahawa tiada dividen diisytiharkan bagi FY2025, dengan sebarang keputusan masa depan bergantung kepada prestasi kewangan, keperluan modal serta strategi pengembangan kumpulan.

 

Dalam perkembangan korporat, semua enam resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kedua di The Majestic Hotel Kuala Lumpur telah diluluskan oleh pemegang saham.

 

Resolusi tersebut termasuk pembayaran yuran dan faedah pengarah, pelantikan semula dua pengarah yang bersara mengikut perlembagaan syarikat, pelantikan semula HLB Ler Lum Chew sebagai juruaudit luar, serta mandat umum penerbitan saham di bawah Akta Syarikat 2016.

 

Syarikat berkata ia kekal optimis terhadap prospek FY2026 dengan fokus kepada pertumbuhan berdisiplin serta pengembangan ke pasaran antarabangsa melalui usaha memperkukuh rangkaian eksport dan kerjasama strategik termasuk memorandum persefahaman (MoU) di Thailand dan Timur Tengah. - DagangNews.com