Johor Plantation dijangka laporkan hasil suku terkuat, TP dinaikkan kepada RM1.75 berikutan unjuran pendapatan lebih kukuh - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantation dijangka laporkan hasil suku terkuat, TP dinaikkan kepada RM1.75 berikutan unjuran pendapatan lebih kukuh - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Nov – Johor Plantations Group (JPG) dijangka mencatat prestasi kewangan paling kukuh bagi suku ketiga tahun kewangan 2025, didorong harga minyak sawit mentah (CPO) lebih tinggi dan peningkatan ketara hasil buah tandan segar (FFB), menurut RHB Research.

 

Sehubungan itu firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran pendapatan JPG bagi FY25–27F, sekali gus mengangkat nilai sasarannya.

 

RHB menaikkan anggaran keuntungan JPG masing-masing sebanyak 11%, 9% dan 6% bagi FY25–27F selepas mengambil kira jangkaan peningkatan ASP CPO, output lebih tinggi serta sumbangan hiliran yang dijangka bermula pada separuh kedua 2026.

 

"Sasaran harga baharu (TP) dinaikkan kepada RM1.75 berbanding RM1.50 sebelum ini, berdasarkan 15 kali P/E 2026F dan merangkumi premium ESG 6% hasil skor 3.3 yang lebih tinggi daripada pesaing," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam nota penyelidikan itu, JPG dikekalkan pada saranan BUY dengan potensi kenaikan 13% dan hasil dividen FY25F sekitar 4%.

 

Penilaian semasa dianggap masih menarik apabila saham diniagakan pada 13.7 kali P/E 2026F – berada dalam lingkungan pemain industri sawit lain yang lazimnya berada antara 11 hingga 15 kali.

 

3Q25 Dijangka Jadi Suku Paling Mantap

Menurut RHB, JPG dijangka mengumumkan keputusan 3Q25 pada 19 November, dengan anggaran PATAMI teras antara RM86 juta hingga RM96 juta.

 

Lonjakan prestasi itu dipacu kenaikan harga CPO sebanyak 5% suku ke suku kepada RM4,280 satu tan, dan kenaikan harga isirung sawit (PK) sebanyak 2% kepada RM3,460 satu tan.

 

Secara tahunan, ASP CPO meningkat 7% manakala PK melonjak 31%. Output FFB turut melonjak 27% QoQ – disokong pembelian hasil luar (OCP) yang lebih tinggi sebanyak 17% QoQ dan 61% YoY. Peningkatan bahan mentah ini menyebabkan pengeluaran CPO naik 23% QoQ dan 13% YoY.

 

Output FFB Menurun Sedikit, OCP Jadi Pemacu Utama

Bagi 9M25, output FFB dalaman susut 5% YoY akibat cuaca basah tetapi dinaikkan oleh OCP yang meningkat 30% YoY, jauh melepasi jangkaan awal.

 

Pihak pengurusan menjangka output 4Q25 akan menurun sedikit kerana pengeluaran telah memuncak pada Ogos.

 

Dengan itu, RHB menurunkan unjuran pertumbuhan FFB dalaman FY25F–27F kepada -2%, -2% dan +1%, sambil meningkatkan jangkaan OCP yang kini menjadi tonggak utama syarikat. JPG menyasarkan OCP membentuk sehingga 50% pemprosesan FFB menjelang 2026 berbanding 32% pada FY24.

 

Menurut RHB, JPG menjangkakan kos seunit FY25 berada sekitar RM2,300 satu tan, naik 10% YoY. Harga baja bagi FY26 dijangka 20–30% lebih tinggi namun syarikat mensasarkan kos keseluruhan kekal stabil melalui pengurangan kos logistik, buruh dan penyelenggaraan, selain meningkatkan kecekapan kilang.

 

Sehubungan itu, anggaran kos seunit CPO FY25–27 dinaikkan sebanyak 4–8%.

 

RHB juga menaikkan andaian harga CPO untuk FY25–27 kepada RM4,350, RM4,250 dan RM4,100 satu tan masing-masing, mengambil kira momentum harga yang lebih menyokong.

 

Premium ASP CPO turut dinaikkan kepada 4.5% memandangkan 70–80% output 2025 telah dikunci pada premium RM200–250 satu tan.

 

Dengan gabungan harga yang lebih kukuh, OCP lebih besar serta strategi pure play yang memfokuskan operasi perladangan, JPG kekal menjadi antara kaunter sawit pilihan utama di Bursa Malaysia. - DagangNews.com