JOHOR BAHRU 2 Dis - Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang dibangunkan JLand Group (JLG) dijangka mampu menarik sehingga RM50 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Keyakinan itu disuarakan sendiri Pengarah Urusan Kumpulannya, merangkap Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation (JCorp), Datuk Akmal Ahmad mengenai potensi kawasan tersebut.
Beliau pada sidang akhbar di sini hari ini menambah, pelaburan besar dijangka dalam pembangunan pusat data (DC) dipacu kedudukan IBTEC sendiri sebagai bandar rendah karbon yang bertaraf lima bintang.
"Setakat ini, IBTEC sudah berjaya menarik RM30 bilion FDI khusus bagi DC fasa pertama, manakala fasa kedua dijangka membawa tambahan RM40 hingga RM50 bilion lagi dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Artikel berkaitan: Struktur sfera unik Livilab rekaan firma arkitek terkenal global Zaha Hadid bakal mercu tanda utama IBTEC

Kawasan berkeluasan 2,950 hektar terletak di Sedenak, Kulai itu merupakan projek hartanah diusahakan JLG dalam wilayah Iskandar Malaysia dan kini dirujuk sebagai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ia dilancarkan secara rasmi oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim sebagai Wakil Rasmi kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam ini.
Acara itu turut disaksikan Menteri Besar Johor yang juga ialah Pengerusi JCorp sendiri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp selaku Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
Akmal menjelaskan lanjut berkata, daripada unjuran itu, JLG menyasarkan sekurang-kurangnya RM30 bilion FDI dapat direalisasikan melalui penambahan pelabur baharu, dan perkembangan DC yang seterusnya.
"Ini termasuk daripada syarikat teknologi global ke dalam ekosistem IBTEC kerana keseluruhan projek ini melibatkan pelaburan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) diunjurkan RM27 bilion," katanya lagi.

Setakat ini, syarikat pemaju hartanah JCorp itu sudah melaburkan RM1.4 bilion bagi fasa awal dan IBTEC dijangka siap sepenuhnya menjelang 2047 dengan jumlah penduduk dianggarkan lebih 300,000 orang.
Ditanya keunikan IBTEC, Akmal berkata strategi utama kawasan itu adalah menawarkan nilai tambah kepada pelabur melalui pensijilan Bandar Rendah Karbon Lima Bintang yang pertama peringkat perbandaran.
“Kami yang paling awal menerima pensijilan sedemikian. Ini penting kerana ia membantu para pelabur menilai komitmen ESG mereka dan kesan cukai pelaksanaan karbon di negara masing-masing,” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun terdapat pandangan bahawa fokus ESG semakin reda, cukai karbon dilaksanakan di pelbagai negara ketika ini, malah Malaysia turut memulakan langkah serupa dalam sektor tertentu.

Justeru kata Akmal, IBTEC menyediakan rumusan khusus bagi syarikat multinasional ingin mengurangkan jejak karbon menerusi penggunaan tenaga yang lebih cekap, dan ruang pejabat berimpak rendah karbon.
Mengulas perbezaan lokasi itu berbanding taman teknologi lain di Malaysia, jelas beliau, ia dibina khusus oleh JLG sebagai pemboleh daya kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.
“Banyak industri berada di hujung rendah rantaian bekalan. Untuk naik tahap lebih tinggi, kuncinya ialah R&D, dan kami mahu menyokongnya dengan ruang disediakan untuk menguji dan mengesahkan idea,” ujarnya.
IBTEC tambah Akmal, disasarkan menjadi antara 'sandbox' atau platform inovasi dunia nyata paling menarik di Asia, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengkomersialkan teknologi baharu.

JLG jelas beliau, juga sudah berjaya memeterai banyak perjanjian dengan beberapa pemain tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuhkan ekosistem tersebut, yang kini memasuki peringkat pelaksanaan.
Beliau turut berkongsi ada projek sandbox terdahulu membawa kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) di Majlis Perbandaran Kulai yang kemudian diterima pakai oleh pihak berkuasa lain.
"Kejayaan IBTEC tidak hanya diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang masuk, tetapi sejauh mana ekosistem ini menaikkan kedudukan Johor dan Malaysia dalam rantaian nilai global," kata Akmal.
Sehubungan itu, beliau optimis lokasi tersebut berupaya membuka banyak peluang kepada ramai pekerja mahir tempatan serta memudahkan usahawan PKS untuk mengakses luas pasaran antarabangsa.
Kelebihan JLG jelasnya, mereka membentuk infrastruktur perindustrian, bandar dan digital sebagai satu sistem yang bersepadu, serta kekal bersamanya dalam jangka masa panjang. - DagangNews.com








