JOHOR BAHRU 3 Dis – Kawasan Exclaim dalam zon Discovery City di Ibrahim Technopolis (IBTEC) seluas 236 hektar di Sedenak, Johor bersedia berperanan sebagai hab inovasi kehidupan urban masa depan.
Prospek itu didorong reka bentuk struktur sfera ikonik Livilab dihasilkan oleh firma arkitek terkenal global, Zaha Hadid Architects (ZHA), yang bakal menjadi mercu tanda utama pelan induk kawasan tersebut.
Pengarah Projek Perbandaran IBTEC, JLand Group (JLG), Faizal Husin menjelaskan, ia berfungsi besar sebagai 'sandbox' atau pusat platform bagi usahawan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Di Livilab, mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti inovasi teknologi dan dijangka siap menjelang akhir 2030," jelasnya pada sesi taklimat khas syarikat pemaju hartanah di bawah Johor Corporation (JCorp) itu.
Artikel berkaitan: JLand Group sasar IBTEC mampu tarik RM50 bilion pelaburan langsung asing dalam 3 tahun

ZHA berpangkalan di London, Britain dan ditubuhkan pada 1980, diasaskan arkitek kelahiran Iraq warga Britain, Dame Zaha Hadid, wanita pertama yang memperoleh 'Pritzker Architecture Prize' pada 2004.
Kerjasama JLG dengan ZHA ini jelas Faizal, bertujuan mengubah landskap kehidupan bandar Livilab, sebagai mercu tanda futuristik ketara menggabungkan kecemerlangan seni bina dan fungsi orientasi masa depan.
Selain itu katanya, kompleks R&D ini berintegrasi secara harmoni dengan persekitaran semula jadi, serta menggambarkan visi IBTEC memastikan struktur lestari dan mengaplikasikan teknologi bandar pintar.
"ZHA komited meminimumkan kesan alam sekitar, malah Discovery City merupakan projek pertama mereka dalam landskap seni bina Malaysia serta mewujudkan sinergi binaan dan alam semula jadi," ujarnya.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan JLG, yang juga Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur JCorp, Datuk Akmal Ahmad serta Pengarah Urusan Pembangunan Hartanah JLG, Zamri Yusof.
Exclaim direka sebagai hab komersial dan kediaman pelbagai guna bermatlamat memupuk keseimbangan kerja-hidup, serta penglibatan komuniti dirancang rapi menjadi kota yang mesra aktiviti berjalan kaki.
Semua kemudahan boleh diakses dan Discovery City bertindak sebagai 'pemandu mesra' pendidikan, inovasi, dan perhubungan, menawarkan platform pengalaman yang dinamik kepada penduduk dan pelawat.
Faizal menambah, IBTEC merupakan 'technopolis' berkeluasan 2,950 hektar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM27 bilion yang berfungsi menjadi pemangkin pertumbuhan wilayah utara Iskandar Malaysia.
"Pelan induknya apabila siap pada 2047 menggambarkan ekosistem holistik perniagaan dan penduduk selaras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) digariskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," ujarnya.

Projek dilancarkan secara rasmi pada 2 Disember 2025 juga adalah sebahagian kawasan F dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), untuk meningkatkan perdagangan dan ketersambungan ekonomi.
Menyentuh mengenai zon hab data StepEast dan StepWest seluas 557 hektar, Faizal menjelaskan ia bergerak mengikut jadual dengan dijadikan asas menarik pelabur memajukan prasarana digital bersepadu.
StepEast merangkumi 283 hektar, yang mewakili 10% daripada keseluruhan IBTEC, serta telah diduduki sepenuhnya oleh 11 pelabur pusat data (DC) berasal dari China, Singapura, Amerika Syarikat, dan Malaysia.
"Jumlah pelaburan di sini setakat ini adalah RM30 bilion, manakala fokus utama kini beralih kepada StepWest yang terletak di sebelah utara StepEast dan merupakan fasa pengembangan segera," katanya.

Faizal menambah, disebabkan isu keluasan keseluruhannya yang besar, JLG menjamin sokongan tenaga cukup melalui pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) kapasiti 500 KV.
Stesen baharu ini jelasnya, bakal diaktifkan secara berperingkat mulai akhir 2026 dengan bekalan elektrik lebih tinggi berbanding hanya kira-kira 275 KV menerusi PMU di StepEast yang dibuka TNB sejak 2014.
Selain itu, beberapa tangki air baharu sedang dibina menyediakan sumber tambahan kira-kira 31.5 juta liter sehari, yang diunjur siap pada 2027, dan dapat menampung kemasukan ramai pelabur DC berpotensi.
"Kami optimis IBTEC bukan sekadar taman teknologi biasa seperti di tempat-tempat lain, malah apabila siap sepenuhnya 25 tahun lagi, ia memang unik mendahului zaman," jelas Faizal. - DagangNews.com








