JCorp, IITM Global teroka penubuhan pusat kecemerlangan AI di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JCorp, IITM Global teroka penubuhan pusat kecemerlangan AI di Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb – Johor Corporation (JCorp) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IIT Madras Global Research Foundation (IITM Global) untuk meneroka penubuhan Pusat Kecemerlangan bagi Kecerdasan Buatan di negeri itu.

 

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab serantau dalam inovasi AI yang bertanggungjawab dan berpandukan industri, sejajar dengan agenda pembangunan Ibrahim Technopolis.

 

JCorp dalam satu kenyataan memaklumkan melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan menilai pelbagai bidang kerjasama termasuk pembangunan pusat kecemerlangan di Johor yang menekankan prinsip keadilan, ketelusan, keselamatan dan tadbir urus AI.

 

 

 

 

 

 

“Selain itu, inisiatif penyelidikan dalam AI dan teknologi canggih akan diterokai bagi memperkukuh ekosistem inovasi di negeri Johor.

 

“Program pendidikan eksekutif dan pembangunan kemahiran profesional juga merupakan antara fokus utama, bagi memastikan tenaga kerja Johor bersedia menghadapi cabaran industri masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pertukaran tenaga pengajar dan pakar antara JCorp dan IITM Global akan dilaksanakan bagi menambah kepakaran tempatan dan membawa amalan terbaik global dalam bidang AI.

 

t
Ahmad Yusri Mohamed (kiri) dan Najmie Noordin

 

Kerjasama ini turut melibatkan penglibatan syarikat pemula, pemindahan teknologi, dan usaha komersial bagi menyokong pertumbuhan ekosistem inovasi di Johor.

 

Selain itu, projek perintis akan dijalankan di Johor untuk menguji dan memperkenalkan aplikasi AI secara langsung dalam sektor perniagaan dan industri.

 

IITM Global dijangka menyumbang kepakaran teknikal dan pengalaman global dalam AI dan teknologi canggih, manakala JCorp berperanan sebagai pemangkin strategik di Johor, menyediakan akses ekosistem, penyelarasan polisi, dan hubungan industri.

 

Ketua Pegawai Digital Johor Corporation, Ahmad Yusri Mohamed berkata AI akan menjadi keupayaan utama untuk industri masa depan dan kerjasama ini memperkukuh hasrat Johor menjadi ekonomi berasaskan AI di rantau ini.

 

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Bakat JCorp, Mohammad Najmie Noordin pula berkata pusat kecemerlangan yang dicadangkan akan menjadi platform strategik untuk mempercepat pembangunan bakat, kerjasama industri, dan pertumbuhan berasaskan inovasi.

 

MoU ini, yang ditandatangani pada 7 Februari 2026, bersifat penilaian awal dan tidak mengikat, sah selama satu tahun dan boleh diperluas dengan persetujuan kedua-dua pihak. - DagangNews.com