ITMAX terima kontrak 10 tahun kendali parkir pintar di MBSJ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX terima kontrak 10 tahun kendali parkir pintar di MBSJ

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI), ITMAX System Bhd menerusi Selmax Sdn Bhd menerima kontrak selama 10 tahun daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai pengendali Skim Parkir Pintar Bersepadu (SIP).

 

Katanya, menerusi pelantikan itu, Selmax bertanggungjawab melaksanakan, mengurus serta mengendalikan tempat letak kereta di bawah kendalian MBSJ.

 

Menerusi kontrak itu, mereka juga diberi pilihan lanjutan kontrak selama lima tahun.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, satu pelan perkongsian hasil telah dipersetujui, di mana Selmax akan menerima 50 peratus daripada jumlah hasil yang dijana daripada kutipan parkir.

 

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya berbesar hati kerana telah dilantik sebagai pengendali SIP bagi MBSJ.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen desak henti pelaksanaan skim parkir pintar Selangor, tuntut semakan semula

 

Ia merupakan kemasukan strategik ITMAX ke Selangor, antara kawasan bandar paling dinamik dan pesat membangun di Malaysia.

 

Katanya, perkongsian itu mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan operasi parkir melalui penggunaan teknologi canggih.

 

"Rumusan parkir pintar kami telah menunjukkan kejayaan yang dapat diukur di bandar-bandar lain, dan kami yakin ia akan menyokong visi MBSJ ke arah ekosistem bandar yang lebih berhubung, cekap dan mampan.

 

"Inisiatif ini juga sejajar dengan agenda Bandar Pintar Selangor secara keseluruhan, dan kami berbangga dapat memainkan peranan dalam mendorong transformasi digitalnya di bandar melalui infrastruktur bandar pintar bersepadu, yang membolehkan mobiliti lebih baik, keselamatan awam yang dipertingkat dan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat," katanya.

 

Terdahulu, langkah penswastaan parkir awam itu mendapat bantahan daripada beberapa ahli Parlimen kerana bimbang terhadap ketelusan, keadilan dan kesan kewangan yang mungkin timbul terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Konsesi itu yang melibatkan MBSJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menimbulkan kebimbangan dari sudut undang-undang, komersial dan operasi berikut maklumat terhad yang didedahkan setakat ini.

 

Skim itu didakwa lebih mengutamakan kepentingan pihak swasta berbanding hak dan manfaat kepada pihak berkuasa tempatan serta penduduk kawasan terlibat. - DagangNews.com