KUALA LUMPUR 22 Julai - Ahli Parlimen Selangor mendesak kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan penswastaan parkir awam yang dijadualkan bermula pada 1 Ogos ini dengan menyuarakan kebimbangan terhadap ketelusan, keadilan dan kesan kewangan yang mungkin timbul terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Konsesi parkir baharu yang dikenali sebagai Skim Parkir Pintar Bersepadu (SIP) yang melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menimbulkan kebimbangan dari sudut undang-undang, komersial dan operasi berikut maklumat terhad yang didedahkan setakat ini, kata mereka.
“Kami bimbang skim ini seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan pihak swasta berbanding hak dan manfaat kepada pihak berkuasa tempatan serta penduduk kawasan kami,” kata keempat-empat MP itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Perlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri sedang memuktamadkan konsesi parkir tiga pihak selama 10 tahun bersama pihak berkuasa tempatan, anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Rantaian Mesra Sdn Bhd, serta sebuah syarikat swasta.
ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam ramai, Kerajaan Selangor semak semula perjanjian parkir pintar baharu
Suee Lim dilaporkan berkata, perjanjian tersebut, yang merangkumi aspek teknikal, kewangan, penguatkuasaan dan tadbir urus, dijangka ditandatangani pada 1 Ogos.
Dalam kenyataan terkini, empat Ahli Parlimen itu telah menggesa kerajaan Selangor untuk mendedahkan sepenuhnya terma skim SIP tersebut, termasuk perjanjian komersial dengan rakan kongsi swasta dan unjuran keuntungan untuk semua pihak yang terlibat.
"Secara zahirnya, skim perkongsian hasil ini kelihatan berat sebelah dan memerlukan pendedahan terperinci lanjut," kata mereka, sambil menyatakan Petaling Jaya sahaja dijangka mengalami kekurangan hasil sekitar RM10 juta di bawah perjanjian yang dicadangkan itu.
Ahli-ahli Parlimen tersebut menegaskan, peranan utama pihak berkuasa tempatan adalah untuk berkhidmat kepada komuniti — bukan untuk memaksimumkan keuntungan — terutamanya apabila penduduk sudah pun membayar cukai taksiran dan cukai lain bagi perkhidmatan majlis.
Mereka turut mempersoalkan perbelanjaan modal sebanyak RM200 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan 1,800 kamera yang bersamaan dengan RM111,000 bagi setiap unit dan menuntut pecahan kos penuh termasuk perbelanjaan untuk perisian, operasi dan penyelenggaraan.
Ahli-ahli Parlimen itu menggesa kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas dwipartisan bagi menjalankan semakan menyeluruh terhadap skim SIP dan memberi keutamaan kepada keperluan pihak berkuasa tempatan serta penduduk melebihi motif berorientasikan keuntungan. - DagangNews.com








