KUALA LUMPUR 16 Julai - Selepas menerima kecaman ramai, Kerajaan Selangor menarik balik pengumuman sebelum ini mengenai pelantikan syarikat konsesi parking baharu bagi empat pihak berkuasa tempatan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Ng Suee Lim menyatakan, perjanjian parkir pintar baharu itu masih belum dimuktamadkan.
Berbanding pengumuman awal yang menyebut, ia akan dikendalikan sepenuhnya anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Inc (MBI), iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd, konsesi selama 10 tahun itu kini akan melibatkan tiga pihak: pihak berkuasa tempatan, Rantaian Mesra, dan sebuah syarikat swasta.
Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) yang kini merupakan pempengaruh media sosial, Datuk Eric See-To bagaimanapun menyelar tindakan Kerajaan Selangor yang menafikan perkara itu sedangkan ia sudah dimuat naik di laman Facebook Jabatan Penguatkuasaan MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) pada 25 Jun 2025 sebelum kemudiannya dipadamkan.
"Jabatan Penguatkuasaan MBSJ telah memuat naik satu posting pada 25 Jun 2025 menyatakan bahawa mereka telah pun mengadakan mesyuarat bersama syarikat swasta iaitu syarikat disenarai ITMAX tersebut untuk membincangkan kaedah baharu penguatkuasaan parkir kerana penswastaan itu dijadual bermula pada 1 Julai 2025.
"Wartawan pun bertanya kepada Kerajaan Selangor: Mengapa syarikat swasta itu sudah beroperasi di dalam PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), siap ubah kaedah penguatkuasaan, serta menyatakan tarikh mula penswastaan ialah 1 Julai lalu - jika kerajaan sendiri mendakwa ia masih dalam rundingan?
"Jawapan kerajaan Selangor? Langsung tiada. Dan lebih pelik, posting asal MBSJ itu telah dipadam… kurang sejam yang lalu," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Suee Lim menyatakan, Rantaian Mesra telah dilantik oleh MBI bagi pelaksanaan fasa pertama yang melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Pada ketika itu, beliau berkata Rantaian Mesra telah disenarai pendek daripada 26 syarikat yang memberi maklum balas terhadap permintaan untuk cadangan (RFP) dan dipilih berdasarkan syarat prestasi yang ketat.
Beliau berkata, syarikat swasta yang dimaksudkan adalah salah satu daripada 26 syarikat yang memberi maklum balas terhadap RFP tersebut tetapi ketika ditemui semalam, beliau berkata, Rantaian Mesra bukanlah antara syarikat yang memberi maklum balas terhadap RFP berkenaan.

Beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) bersetuju dalam mesyuarat pada November 2024 untuk melaksanakan pengurusan parkir negeri melalui kerjasama antara MBI dan syarikat swasta, telah memilih Rantaian Mesra untuk menguruskannya melalui perjanjian tiga pihak.
“Butiran perjanjian yang merangkumi aspek teknikal, kewangan, penguatkuasaan dan tadbir urus antara ketiga-tiga pihak sedang dimuktamadkan sebelum perjanjian dijangka ditandatangani pada 1 Ogos,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Beliau berkata, pelancaran sistem parkir pintar baharu pada 1 Ogos ini, yang melibatkan pemasangan 1,800 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir utama empat pihak berkuasa tempatan, mungkin ditangguhkan.
“Kami sedang cuba menyiapkan penambahbaikan sebelum 1 Ogos — tetapi jika kami perlukan lebih masa, kami akan memohon lanjutan daripada MMKN,” katanya.
Suee Lim turut menafikan, kerajaan negeri telah mengetepikan pihak berkuasa tempatan dalam konsesi baharu ini. “Walaupun MBI dan konsesi terlibat, penguatkuasaan masih di bawah kuasa PBT,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan parkir berasaskan konsesi bukansesuatu yang baharu di Selangor kerana kaedah itu telah digunakan sejak 1996, dan sehingga Jun 2025, lima pihak berkuasa tempatan masih menguruskan parkir melalui sistem konsesi.
Pengurusan parkir bagi lima pihak berkuasa tempatan tersebut — MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), MPS (Majlis Perbandaran Selayang), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) — dikendalikan oleh Suasa Efektif (M) Sdn Bhd.
Pengerusi Suasa Efektif ialah Tengku Sulaiman Shah Alhaj, anak kepada Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, menurut laman web syarikat itu.
Beliau turut menyamakan pelantikan Rantaian Mesra dengan pelantikan KDEB Waste Management Sdn Bhd pada tahun 2016, iaitu anak syarikat milik penuh MBI, untuk menguruskan operasi kutipan sisa pepejal negeri.
MBI tidak berhasrat menjual pegangan dalam Rantaian Mesra selepas konsesi parkir baharu dilaksanakan, kata Suee Lim.
“Ini bukan penjualan. Ini adalah kerjasama. Kerajaan negeri akan mempunyai kepentingan di sini (dalam Rantaian Mesra),” katanya.
Di bawah perjanjian tiga pihak tersebut, pihak berkuasa tempatan akan mengekalkan kuasa penuh terhadap penguatkuasaan, manakala Rantaian Mesra akan bertindak sebagai penyelaras sistem, dan syarikat konsesi yang akan dilantik kelak akan mengendalikan operasi harian parkir bagi empat pihak berkuasa tempatan — iaitu MBPJ, MBSJ, MBSA, dan MPS.- DagangNews.com








