KUALA LUMPUR 27 Ogos — Honda Malaysia membuka tempahan bagi Honda City baharu dengan ganjaran sehingga RM3,000 bagi pelanggan awal, sekali gus menawarkan nilai tambahan kepada pembeli.
Menurut kenyataan syarikat automotif tersebut, model sedan segmen B popular itu tampil dengan reka bentuk yang lebih 'sporty' serta pelbagai ciri teknologi dan keselamatan terbaharu di pasaran.
Ujarnya, tawaran khas berkenaan hanya diberikan kepada pelanggan yang membuat tempahan awal bermula 27 Ogos 2026 hingga 30 September 2026, namun tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan .
"Honda City model baharu ini menerima pembaharuan reka bentuk bahagian hadapan dengan penampilan berani, termasuk lampu utama bersepadu dengan jalur lampu penuh melintang," jelas Honda Malaysia.
Buat kali pertama, model itu turut menampilkan 'air curtains' di bahagian hadapan, bagi memberikan penampilan lebih lebar, manakala varian RS menerima rim aloi 16 inci baharu dengan kemasan tona.
Bagi meningkatkan nilai pemilikan, Honda City e:HEV RS kini dilengkapi 'display audio' 10 inci, sistem kamera 'multi-view' dan sistem 'blind spot information' bersama 'cross traffic monitoring'.
Ciri berkenaan kata Honda Malaysia, turut ditawarkan bagi menyokong pertukaran lorong dan pemanduan yang lebih selamat dengan memberi amaran kepada pemandu terhadap kenderaan di kawasan titik buta.
"Model ini turut mengekalkan pilihan dengan rangkaian yang dijana petrol dan hibrid bagi memenuhi keperluan untuk segmen pelanggan berbeza-beza," tambah kenyataan kumpulan automotif berkenaan.
Varian 1.5L e:HEV menggunakan transmisi e-CVT dan menghasilkan 109 PS serta tork 253 Nm daripada motor elektrik, dengan sistem mod pemanduan EV, Hybrid dan Engine bagi mengimbangi prestasi.
Sementara itu, bagi varian jenis enjin 1.5L DOHC i-VTEC bersama-sama transmisi CVT menghasilkan 121 PS dan 145 Nm, dengan menawarkan pecutan yang lebih lancar dan responsif untuk kegunaan harian.
Sistem 'sensing' pula kekal ditawarkan sebagai ciri standard merangkumi pelbagai sistem bantuan keselamatan dan pemanduan seperti brek, bantuan lorong dan 'adaptive cruise control'.
"Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 menerusi kempen 'One Nation, Shared Rewards', orang ramai juga boleh melihat Honda City baharu tersebut di beberapa lokasi terpilih," tambah Honda Malaysia.
Maklumat lanjut akan dikemas kini menerusi laman web rasmi manakala tempahan boleh dibuat secara dalam talian, menerusi aplikasi HondaTouch atau di pengedar yang sah di seluruh negara. - DagangNews.com








