Isu tanah Terengganu reda: FGV dibenarkan operasi serta-merta, tempoh remedi hingga 7 Januari 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu tanah Terengganu reda: FGV dibenarkan operasi serta-merta, tempoh remedi hingga 7 Januari 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 8 Dis – Pertelingkahan antara kerajaan negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Felda Global Ventures (FGV) mula menunjukkan perkembangan positif hasil rundingan yang berjalan sebelum ini.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh remedi di dalam notis yang telah dikeluarkan bagi tempoh satu bulan berakhir pada 7 Januari 2026.

 

“Terengganu juga tidak meneruskan notis yang telah dikeluarkan kepada kesemua Lembaga Pengarah FGV.

 

“Dalam tempoh remedi ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan.

 

“Kerajaan Negeri juga telah mempertimbangkan untuk bersetuju memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Notis yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara juga akan ditarik balik sebaik sahaja satu perjanjian muktamad berjaya ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan FELDA.

 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah melihat perkembangan positif dari hasil rundingan melibatkan semua pihak sebelum ini.

 

“Kerajaan Negeri meyakini bahawa siri rundingan seterusnya akan diteruskan sehingga berjaya mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan antara Kerajaan Negeri dan FELDA.

 

“Semoga persetujuan penyelesaian ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah: Terengganu beri kata dua kepada Felda - selesai dalam 40 hari atau ke mahkamah

 

Isu tersebut mula tercetus pada awal Oktober apabila Kerajaan Negeri Terengganu memberi tempoh 40 hari kepada Felda untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah seluas 14,791 hektar yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah atau berdepan tindakan undang-undang.

 

Tanah seluas 14,791 hektar itu adalah milik kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sejak 1985 dan kemudiannya diserahkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV).

 

Pada akhir November, kerajaan negeri menyerahkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran sah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah Terengganu: FELDA, FGV sedang buat semakan untuk selesaikan mengikut undang-undang

 

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu akan pulangkan semula wang bayaran dari FELDA, jumlah diterima pada 2011 hanya persetujuan sebelah pihak - EXCO

 

Felda kemudiannya mengeluarkan kenyataan ia akan membuat semakan terperinci dan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang dan kerajaan negeri pula memberi jaminan akan terus membuka pintu rundingan untuk menyelesaikan isu tersebut. - DagangNews.com