KUALA LUMPUR 21 Nov – Ireka Corporation Berhad yang kini dikategorikan sebagai syarikat PN17 menerima Surat Penganugerahan (LoA) bernilai RM15.5 juta daripada ANS Development Sdn Bhd bagi kerja subkontrak projek pembinaan klinik kesihatan dengan kuarters integrasi di Mak Mandin, Pulau Pinang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ireka berkata, kontrak tersebut diperolehi melalui anak syarikat milik penuhnya, Shoraka Construction Sdn Bhd (SCSB) yang menerima surat tersebut pada 19 November 2025.
“Kerja-kerja pembinaan untuk projek berkenaan dijadualkan bermula pada 10 November 2025 dan siap pada 21 Ogos 2028.
“Kontrak tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan teras SCSB dan akan mengukuhkan buku pesanan kumpulan selain menyediakan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh pelaksanaan projek,” kata syarikat itu.
Ireka menjelaskan projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 serta seterusnya sehingga projek disiapkan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama kumpulan, mahupun mana-mana pihak berkaitan, mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam penganugerahan kontrak tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ireka dapat bantuan syarikat China rangka pelan regularisasi keluar dari PN17
Pada awal bulan ini, Ireka mendapatkan bantuan sebuah syarikat dari China sebagai usahanya untuk keluar daripada status PN17 selepas menghadapi masalah kewangan sejak tahun 2022.
Ireka menandatangani perjanjian awal (non-binding term sheet) bersama Rongyao Investment Chengdu Co Ltd bagi tujuan penstrukturan semula modal.
Melalui perjanjian itu, Rongyao akan menyuntik dana tunai, aset strategik, serta mengetuai penstrukturan kewangan dengan pemiutang Ireka.
Bagi tujuan itu, Rongyao akan menanggung penempatan persendirian saham baharu Ireka bersamaan 10% daripada jumlah saham sedia ada pada harga indikatif 30 sen sesaham, tertakluk kepada kelulusan dan syarat penentuan harga Bursa Securities.
Hasil daripada penempatan ini akan digunakan untuk modal kerja dan kos penstrukturan.
Pelan penstrukturan semula itu juga termasuk cadangan suntikan aset, yang melibatkan aset berkaitan hartanah terpilih bernilai sehingga RM50 juta. - DagangNews.com








