Ireka dapat bantuan syarikat China rangka pelan regularisasi keluar dari PN17 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ireka dapat bantuan syarikat China rangka pelan regularisasi keluar dari PN17

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov – Ireka Corp Bhd mendapatkan bantuan sebuah syarikat dari China sebagai usahanya untuk keluar daripada status PN17 selepas syarikat itu menghadapi masalah kewangan sejak tahun 2022.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ireka berkata, ia telah menandatangani perjanjian awal bersama Rongyao Investment Chengdu Co Ltd bagi tujuan penstrukturan semula modal.

 

“Melalui perjanjian itu, Rongyao akan menyuntik dana tunai, aset strategik, serta mengetuai penstrukturan kewangan dengan pemiutang Ireka.

 

“Bagi tujuan itu, Rongyao akan menanggung penempatan persendirian saham baharu Ireka bersamaan 10% daripada jumlah saham sedia ada pada harga indikatif 30 sen sesaham, tertakluk kepada kelulusan dan syarat penentuan harga Bursa Securities. 

 

“Hasil daripada penempatan ini akan digunakan untuk modal kerja dan kos penstrukturan,” kata syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu.

 

Pelan penstrukturan semula itu juga termasuk cadangan suntikan aset, yang melibatkan aset berkaitan hartanah terpilih bernilai sehingga RM50 juta. 

 

Aset ini akan diperoleh Ireka pada penilaian diskaun yang dipersetujui bersama berdasarkan penilaian bebas dan bayaran bagi aset ini akan dibuat melalui penerbitan saham baharu Ireka.

 

Rongyao juga akan mengetuai perbincangan dan merangka pelan penstrukturan hutang bagi Ireka dan anak syarikatnya dengan pemiutang utama, bertujuan menstabilkan imbangan kewangan kumpulan. 

 

Ireka berkata, sementara menunggu penyelesaian transaksi, pelabur China itu berhak melantik seorang pemerhati untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa eksekutif Ireka tanpa hak mengundi. 

 

“Selepas transaksi selesai, dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan pemegang saham, Rongyao berhak menamakan seorang wakil ke dalam lembaga pengarah Ireka.

 

“Namun, cadangan itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk lanjutan tempoh oleh Bursa Securities untuk Ireka mengemukakan pelan regularisasi serta Rongyao berpuas hati selepas menyemak keadaan sebenar syarikat. 

 

Perjanjian awal itu juga memberikan tempoh eksklusif 14 kepada Rongyao di mana Ireka dan pemegang saham utama dilarang berunding dengan pihak lain bagi transaksi tersebut.

 

Ireka diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada 1 Mac 2022 selepas Bursa Malaysia menolak permohonannya untuk lanjutan tempoh bantuan Covid-19, apabila ekuiti pemegang saham kumpulan jatuh di bawah 50% daripada modal diterbitkan. 

 

Permohonan rayuan syarikat terhadap keputusan Bursa Securities sebelum ini untuk menggantung dan menyenaraikan keluar sekuriti syarikat, serta permohonan lanjutan masa untuk mengemukakan pelan regularisasi yang difailkan pada 2 Oktober, masih belum diputuskan.

 

Perdagangan saham Ireka digantung oleh Bursa pada 3 Oktober. - DagangNews.com