KUALA LUMPUR 12 Feb — Infraharta Holdings Berhad memperoleh tender untuk melaksanakan kerja sub-kontrak projek pembinaan klinik kesihatan dan pusat pakar pergigian di Presint 6, Putrajaya.
Menurutnya, surat penganugerahan kontrak bertarikh 4 Februari 2026 itu diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Infraharta Construction Sdn Bhd (ICSB) daripada Synergy Goldtree Sdn Bhd (SGSB)
Tender baharu itu bernilai RM11,422,247.55 dan meliputi pembekalan tenaga kerja, bahan, peralatan serta mesin bagi projek, dengan tempoh pelaksanaan dari 4 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.
"Kumpulan menegaskan bahawa kontrak berkenaan tidak menjejaskan modal saham syarikat atau pegangan pemegang saham utama," kata Infraharta dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sebaliknya, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu menjangka, ia akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kepada kumpulan sepanjang tempoh kontrak tersebut.
Tiada risiko luar biasa dikenal pasti selain risiko operasi normal, manakala tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan dalam kontrak ini.
Lembaga Pengarah Infraharta menyatakan bahawa kontrak ini adalah selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan dan menyokong pertumbuhan serta prestasi operasi anak syarikat. - DagangNews.com








