KUALA LUMPUR 3 Sept - Prospek pemulihan pendapatan Inari Amertron Berhad (Inari) semakin mendapat momentum pada tahun kewangan 2027 (FY27), didorong pemulihan penggunaan kapasiti frekuensi radio (RF) bagi kitaran telefon pintar baharu serta peningkatan pantas perniagaan fotonik, menurut Kenanga Research
Firma penyelidikan berkata, pengurusan Inari percaya kumpulan itu telah melepasi paras terendah prestasi, dengan hasil 4QFY26 meningkat 8.7% kepada RM288.9 juta suku ke suku, disokong penggunaan kapasiti RF yang lebih baik.
Menurutnya, pemulihan permintaan RF menyediakan asas pendapatan yang lebih kukuh untuk FY27, manakala kandungan RF yang lebih tinggi bagi setiap peranti turut memberi ruang kepada pertumbuhan walaupun jumlah penghantaran telefon pintar tidak banyak berubah.
"Pengurusan melihat penggunaan kapasiti RF ketika ini sekitar 85%, lebih tinggi daripada jangkaan awal kira-kira 75%, menunjukkan permulaan yang lebih sihat bagi kitaran telefon pintar akan datang," katanya dalam nota penyelidikan.
Malah, pengurusan percaya hasil RF berpotensi berkembang sekitar 10% hingga 15% walaupun jumlah unit telefon bimbit tidak berubah, didorong peningkatan kandungan bagi setiap peranti dan peralihan kepada pembungkusan modul dua sisi (DSM) yang lebih kompleks.
Fotonik pemacu pertumbuhan baharu
Kenanga berkata, perniagaan fotonik dijangka menjadi pemacu pertumbuhan struktur utama Inari, dengan kumpulan itu merancang untuk menggandakan kapasiti fotonik pada FY27.
Pelanggan B dijangka memacu peningkatan pengeluaran dalam tempoh terdekat, manakala pelanggan L berpotensi menjadi satu lagi penyumbang pertumbuhan yang ketara.
Kedua-dua program memerlukan sumber pengeluaran berasingan, bermakna sumbangan pelanggan L dijangka bersifat tambahan dan bukan sekadar pengagihan semula kapasiti sedia ada.
Perkembangan itu dijangka membantu Inari mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap kitaran telefon pintar serta perniagaan RF.
Prospek tersebut turut disokong permintaan kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi komunikasi optik dan produk fotonik. Firma penyelidikan sebelum ini turut melihat perniagaan optoelektronik sebagai pemacu pertumbuhan baharu Inari apabila permintaan berkaitan AI meningkat.
TIA buka peluang baharu dalam rantaian AI
Menurut Kenanga, selain fotonik, Inari turut mengembangkan pendedahan kepada rantaian nilai AI menerusi peluang dalam penguat transimpedans (TIA), komponen yang digunakan dalam sistem komunikasi optik untuk menukar arus elektrik kecil kepada isyarat voltan.
Pengurusan telah memperoleh pelanggan baharu bagi program berkaitan ujian TIA dan menjangkakan sekitar 20% daripada capex berkaitan peralatan FY27 akan diperuntukkan kepada peluang tersebut.
Walaupun masih di peringkat awal, TIA berpotensi menjadi satu lagi pemacu pertumbuhan selain RF dan fotonik, khususnya apabila keperluan pusat data AI terhadap komunikasi berkelajuan lebih tinggi dan penggunaan tenaga lebih rendah terus berkembang.
Keuntungan FY27 dijangka melonjak
Berdasarkan prospek pemulihan tersebut, firma penyelidikan menaikkan unjuran keuntungan bersih Inari bagi FY27 sebanyak 1.8% kepada RM307 juta, selain memperkenalkan unjuran bagi FY28.
Unjuran itu mengambil kira sumbangan fotonik yang lebih tinggi, namun masih belum memasukkan potensi sumbangan daripada pelaburan TIA.
Justeru, kejayaan pengkomersialan dan peningkatan pengeluaran TIA boleh memberikan ruang peningkatan tambahan kepada unjuran keuntungan.
Susulan prospek pemulihan yang semakin jelas, firma penyelidikan menaikkan harga sasaran (TP) Inari kepada RM2.77 daripada RM2.72, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sasaran tidak berubah pada **32.6 kali. Ia mengekalkan penarafan OUTPERFORM terhadap saham berkenaan. - DagangNews.com








