Impak kewangan Gas Malaysia akibat kos pembinaan 2 projek di Perak dijangka terhad – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Impak kewangan Gas Malaysia akibat kos pembinaan 2 projek di Perak dijangka terhad – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 SeptGas Malaysia Berhad dijangka mengalami impak kewangan yang terhad daripada kos awal untuk pembangunan dua projek terbaharunya di Perak, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, setiap Loji Pemurnian Biometana (BPP) yang dibina kumpulan berkenaan dianggarkan memberikan kos permulaan hanya mencecah antara RM20 juta hingga RM25 juta.


Ia berpendapat, kesan jangka panjang akibat projek itu apabila disiapkan dalam masa 13 bulan lagi sebenarnya adalah tidak besar memandangkan tempoh pulangan pelaburan dijangka sekitar 10 tahun.


"Penganugerahan kontrak ini dilihat sebagai satu lagi langkah strategik Gas Malaysia memperluaskan agenda dan portfolio tenaga lestari gas hijau kumpulan," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.


Baru-baru ini, kumpulan itu mengumumkan projek tersebut melibatkan pembinaan dua BPP di Trong dan Air Kuning, yang dianugerahkan kepada kontraktor MTC Orec Sdn Bhd (MTCOSB) dan Enproserve (EMB).


Mengulas lanjut, firma itu berkata, perkembangan projek ini mencerminkan komitmen membangunkan rumusan tenaga rendah karbon selari matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


Menerusi inisiatif digerakkan kerajaan itu kata MBSB Research, Malaysia bakal mengurangkan tahap pelepasan gas rumah hijau dan mencapai sasaran sifar karbon di seluruh negara menjelang 2050.


"Kami difahamkan yang dua BPP ini akan berfungsi untuk memproses biogas mentah kepada biometana berkualiti tinggi, serta boleh digunakan sebagai alternatif kepada bahan api fosil," katanya.


Biometana setelah dimurnikan akan dihantar melalui Sistem Agihan Gas Asli dimiliki Gas Malaysia, yang berupaya meningkatkan lagi kadar penggunaan dan kecekapan rangkaian infrastruktur sedia ada.


Bagaimanapun, MBSB Research turut menegaskan beberapa risiko utama yang berpotensi menjejaskan pelaksanaan projek, antaranya isu ketidaktentuan dalam pasaran harga gas dan tenaga di Malaysia.


Selain itu tambah firma penyelidikan berkenaan, Gas Malaysia perlu bersedia dengan cabaran potensi halangan daripada aspek kawal selia serta risiko pelaksanaan dari sudut teknikal dan logistik.


"Walaupun projek ini dianggap sebagai pemangkin kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat dalam segmen tenaga boleh diperbaharui, kami menyifatkan ia masih berada di peringkat awal," katanya.


Maklumat kos sebenar yang masih belum diumumkan turut diambil kira dan MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.48 sesaham. - DagangNews.com