KUALA LUMPUR 10 Nov – IHH Healthcare Bhd dijangka mencatat peningkatan prestasi tahun ke tahun (YoY) dan suku ke suku (QoQ) bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25), didorong oleh sumbangan kukuh daripada Island Hospital di Pulau Pinang serta prestasi lebih baik di Acibadem Turkiye, hasil peningkatan operasi di hospital baharu Kartal dan Vitosha.
RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, momentum pertumbuhan ini turut dijangka diperkukuh oleh pembukaan semula Hospital Mount Elizabeth (Orchard, Singapura), yang dijangka menyumbang kepada peningkatan hasil dan margin kumpulan pada suku berkenaan.
Katanya, keputusan 3Q25 yang dijadual diumumkan pada 26 November dijangka sejajar dengan jangkaan, dengan keuntungan bersih teras dianggarkan sekitar RM521 juta, menurun 1.4% tahun ke tahun tetapi meningkat 24% berbanding suku sebelumnya.
"Ini menjadikan keuntungan bersih teras bagi sembilan bulan pertama tahun ini (9M25) dianggarkan sebanyak RM1.36 bilion, hampir tidak berubah (-0.2% YoY) dan sejajar dengan unjuran penganalisis serta konsensus, masing-masing pada 73% dan 71% daripada anggaran penuh 2025," kata bank pelaburan itu lagi.
RHB menjangkakan pendapatan dan EBITDA IHH dalam mata wang tetap akan meningkat 17% dan 11% YoY bagi 9M25, mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh yang dicatat pada separuh pertama tahun.
Namun, pengukuhan ringgit berbanding mata wang operasi utama dijangka menyederhanakan pertumbuhan sebenar kepada 9% dan 2.8% masing-masing.
Margin EBITDA bagi 3Q25 dijangka meningkat sedikit sebanyak 0.2 mata peratus kepada 21.7%, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada operasi Singapura selepas pembukaan semula Mount Elizabeth (Orchard), selain prestasi positif di Turki. Margin bagi pasaran lain dijangka kekal stabil.
RHB berkata, hasil semakan terhadap unjuran operasi Acibadem dan India serta pelarasan kadar tukaran mata wang dan margin telah mendorong pihaknya, menaikkan unjuran keuntungan FY2025F–FY2027F masing-masing sebanyak 13%, 5% dan 14%.
Berikutan itu, harga sasaran (TP) berasaskan penilaian SOP disemak naik kepada RM9.15 daripada RM9.00 sebelum ini, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 11%.
Penilaian ini turut mengambil kira peningkatan nilai pasaran anak syarikat tersenarai dan gandaan yang lebih tinggi bagi operasi hospital tidak tersenarai — 15x EV/EBITDA FY2026F (daripada 14x).
Penilaian baharu itu bersamaan 16.3x EV/EBITDA FY2026F, atau +2.4 sisihan piawai (SD) daripada purata sejarah lima tahun kumpulan.
RHB menegaskan penilaian ini wajar, disokong oleh pemangkin jangka pendek seperti semakan positif kadar pembayaran di bawah Skim Kesihatan Kerajaan Pusat India (CGHS) dan penghapusan halangan kawal selia yang membuka semula potensi pertumbuhan IHH di India.
Menurut RHB lagi, IHH dilihat menonjol melalui dua faktor pelaburan utama iaitu saham KLCI berorientasikan pertumbuhan pantas dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) PATAMI tiga tahun sebanyak 12%, dan alternatif pelaburan yang lebih murah berbanding Fortis Healthcare di India.
"Risiko yang dikenal pasti termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan yang boleh menjejaskan jumlah pesakit, risiko terlebih bayar dalam pengambilalihan, inflasi kos operasi yang tinggi di pasaran utama yang boleh mengehadkan keupayaan untuk memindahkan kos kepada pelanggan, serta ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang yang boleh mengakibatkan kerugian terjemahan," kata laporan itu lagi. - DagangNews.com








