Hume Cement kaut untung bersih RM64.3 juta bagi 2QFY26, jatuh 21% berikutan tiada aset dilupus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hume Cement kaut untung bersih RM64.3 juta bagi 2QFY26, jatuh 21% berikutan tiada aset dilupus

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 FebHume Cement Industries Berhad mencatatkan keuntungan bersih hanya RM64.25 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, iaitu merosot kira-kira 21.16% berbanding 2QFY25. 


Penurunan berbanding RM81.50 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan terutamanya oleh ketiadaan keuntungan satu kali daripada pelupusan aset yang direkodkan bagi tempoh perbandingan.


Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia menjelaskan, jika keuntungan satu kali tersebut dikecualikan, ia sebenarnya akan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi. 


"Prestasi perlahan pada 2QFY26 didorong oleh kos input dan pengeluaran yang didapati lebih rendah, berikutan daripada inisiatif penambahbaikan kecekapan secara berterusan," tambah Hume Cement.


Sementara itu, bagi suku bawah tinjauan tersebut, pendapatan kumpulan berkenaan mencatatkan sedikit penurunan kepada kira-kira RM271.1 juta berbanding sebanyak RM289.8 juta pada tahun sebelumnya. 


Kejatuhan ini jelasnya, disebabkan sebahagian besar berpunca daripada faktor jualan konkrit yang lebih rendah susulan penamatan banyak operasi segmen konkrit di pasaran Semenanjung Malaysia.


Bagaimanapun katanya lagi, bagi tempoh enam bulan terkumpul, Hume Cement berkeupayaan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM125.46 juta daripada hasil yang mencecah jumlah RM561.16 juta. 


"Meskipun terdapat penurunan dalam pendapatan keseluruhan, PBT bagi tempoh enam bulan tersebut meningkat kepada RM165.0 juta berbanding RM162.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu," katanya.


Mengulas mengenai prospek masa depan, pengurusan kumpulan tersebut kekal fokus pada keutamaan kecemerlangan operasi dan mengoptimumkan struktur kos bagi meningkatkan keberkesanan keseluruhan.


Sektor pembinaan Malaysia dijangka akan mengekalkan pertumbuhan yang stabil, dan Lembaga Pengarah Hume Cement menjangkakan prestasi kumpulan berkenaan bagi tahun kewangan ini adalah memuaskan.


Selain itu, syarikat tersebut dalam proses melaksanakan cadangan pelupusan 100% pegangan ekuiti dalam Hume Concrete Sdn Bhd kepada YTL Cement dengan harga pertimbangan kira-kira RM215.0 juta.


"Langkah pelupusan ini dijangka selesai pada suku kedua tahun ini, dan setakat tahun kewangan semasa, kami mengisytiharkan jumlah dividen satu peringkat sebanyak 6.0 sen sesaham," katanya.


Bagi tempoh suku kedua FY26, pihak lembaga pengarah kumpulan itu namun tidak mencadangkan sebarang dividen interim untuk diagihkan kepada pemegang saham mereka. - DagangNews.com