Hock Soon raih untung bersih RM8.4 juta bagi 1QFY26 menjelang penyenaraian, dipacu permintaan tinggi telur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hock Soon raih untung bersih RM8.4 juta bagi 1QFY26 menjelang penyenaraian, dipacu permintaan tinggi telur

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Feb - Hock Soon Capital Berhad memulakan langkah sulungnya sebagai syarikat awam dengan keuntungan bersih RM8.396 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Disember 2025. 


Prestasi memberangsangkan ini didorong terutamanya permintaan tinggi terhadap produk telur daripada pelanggan, selain disokong oleh harga jualan purata yang stabil iaitu sekitar 36 sen sebiji.


Kumpulan berkenaan menambah, penerimaan penuh subsidi telur daripada kerajaan bagi tempoh tersebut turut menyokong syarikat itu menjelang penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada 13 Februari 2026.


"Kami melaporkan perolehan sebanyak RM47.73 juta dengan margin keuntungan selepas cukai (PAT) yang sebanyak 17.6%," kata Hock Soon dalam makluman kedudukan kewangan 1QFY26 kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu jelasnya, margin keuntungan kasar syarikat turut menyaksikan peningkatan kepada kira-kira 34% berbanding hanya 27% sebelumnya, hasil daripada pengurusan kos pengeluaran yang cekap.


Menurutnya, kumpulan itu meraih manfaat pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang turut menstabilkan kos perolehan bahan mentah utama seperti jagung, gandum, dan kacang soya.


Laporan suku pertama ini tambahnya, merupakan penyata kewangan interim pertama yang diumumkan oleh pengurusan Hock Soon selaras dengan keperluan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.


"Harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat ini ditetapkan pada 60 sen sesaham, dan ia berjaya menerima lebihan langganan sebanyak 1.36 kali untuk 25 juta saham yang diperuntukkan," jelasnya.


Melangkah ke hadapan, kumpulan berkenaan merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya melalui pembinaan ladang ternakan baharu di Teluk Intan, Perak yang berkeluasan 21.3 hektar.


Hock Soon menambah, fasiliti ladang tersebut akan dilengkapi dengan sejumlah 25 reban ayam dengan sistem tertutup yang menggunakan teknologi automasi secara sepenuhnya untuk operasi harian.


Katanya, apabila ladang berkenaan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun selepas IPO, kapasiti pengeluaran telur syarikat itu dijangka dapat ditingkatkan sebanyak 1.53 juta telur sehari.


"Selain itu, kami dalam proses mendapatkan lesen Agensi Makanan Singapura (SFA) bagi menembusi pasaran menjelang suku pertama 2026 dan mempelbagaikan aliran hasil," katanya. - DagangNews.com