KUALA LUMPUR 12 Nov - Ho Wah Genting Bhd (HWGB) bercadang melaksanakan dua langkah korporat utama melibatkan pelupusan hutang dan penempatan saham persendirian bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia menerusi M & A Securities Sdn Bhd, syarikat bercadang untuk menyelesaikan hutang berjumlah RM3.299 juta yang tertunggak kepada Advance Opportunities Fund (AOF) dan Advance Opportunities Fund I (AOF I) melalui penerbitan sehingga 20,554,700 saham baharu HWGB pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.
Cadangan kedua pula membabitkan pelaksanaan penempatan saham persendirian sehingga 20,554,700 saham baharu HWGB, bersamaan 10% daripada jumlah saham terbitan syarikat.
Rasional Cadangan
Bagi cadangan penyelesaian hutang, lembaga pengarah berpendapat langkah ini membolehkan syarikat menyelesaikan hutang tanpa menambah beban pinjaman atau faedah, memperkukuh asas modal serta kedudukan ekuiti dan aset bersih syarikat; dan mengekalkan aliran tunai untuk tujuan modal kerja.
Sementara itu, cadangan penempatan saham persendirian bertujuan mengumpul dana tambahan dengan kaedah lebih pantas dan kos efektif berbanding terbitan hak atau pinjaman baharu.
Langkah ini juga dilihat dapat mengukuhkan struktur pemegang saham HWGB serta menjadi sumber pembiayaan tambahan tanpa menanggung kos faedah.
Lembaga pengarah turut menegaskan HWGB tidak melaksanakan sebarang aktiviti pengumpulan dana dalam tempoh 12 bulan terdahulu, selepas cadangan terbitan nota dan penempatan saham 10% sebelum ini tidak diluluskan oleh pemegang saham.
Menjelas lanjut butiran cadangan penyelesaian hutang, kenyataan itu menyebut pada 12 November 2025, HWGB telah menandatangani Perjanjian Penyelesaian Hutang dengan AOF dan AOF I bagi menyelesaikan jumlah hutang melalui penerbitan saham baharu.
Harga terbitan saham akan ditentukan berdasarkan formula yang akan diumumkan kelak. Jumlah saham baharu yang akan diterbitkan tidak akan melebihi 20,554,700 unit.
Sekiranya hutang selesai sebelum semua saham diterbitkan, baki saham tidak akan dikeluarkan. Namun, jika semua saham telah diterbitkan tetapi jumlah hutang masih berbaki, HWGB akan menjelaskannya secara tunai selewat-lewatnya 31 Mac 2026.
Mengenai cadangan penempatan saham persendirian pula, cadangan ini melibatkan penerbitan sehingga 20,554,700 saham baharu, bersamaan 10% daripada modal saham terbitan HWGB.
Langkah ini dijangka dilaksanakan dalam satu atau beberapa peringkat dalam tempoh enam bulan selepas mendapat kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat turut menjelaskan walaupun mempunyai 6.59 juta opsyen saham pekerja (ESOS) yang belum dilaksanakan, opsyen tersebut tidak dijangka digunakan memandangkan harga pelaksanaan lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa. - DagangNews.com








