HE Group catat hasil RM32.3 juta, untung bersih RM3.4 juta bagi 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HE Group catat hasil RM32.3 juta, untung bersih RM3.4 juta bagi 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik, HE Group Berhad melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.4 juta bagi suku ketiga kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY25) dengan hasil RM32.3 juta. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, margin keuntungan kasarnya meningkat kepada 21.7% berbanding 15.0% pada suku yang sama tahun lalu, disokong oleh campuran projek yang lebih menguntungkan.

 

“Secara suku ke suku, pendapatan dan PAT masing-masing meningkat 0.8% dan 8.8% disebabkan kemajuan projek sedia ada, pesanan daripada projek hampir siap serta peningkatan pendapatan lain daripada pelaburan jangka pendek. 

 

“Namun, berbanding tahun sebelumnya, pendapatan suku ketiga menurun daripada RM58.9 juta akibat beberapa projek telah siap, sekali gus menurunkan PAT daripada RM4.6 juta pada suku yang sama tahun lalu,” kata HE Group dalam makluman tersebut.

 

Segmen sistem pengedaran kuasa kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM16.1 juta atau 49.7% daripada jumlah pendapatan. 

 

Bahagian sistem dan kerja bangunan lain pula menyumbang RM11.6 juta atau 35.9%, manakala perniagaan sambungan dan penyesuaian peralatan elektrik mencatatkan RM4.6 juta atau 14.2%.

 

HE Group berkata, bahagian perdagangan menyumbang baki kurang daripada RM0.05 juta atau 0.2%.

 

“Bagi sembilan bulan pertama kewangan berakhir 30 September 2025 (9MFY25), HE Group mencatatkan pendapatan sebanyak RM95.9 juta berbanding RM172.6 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan beberapa projek telah siap.

 

“Walaupun pendapatan lebih rendah, margin keuntungan kasar meningkat kepada 20.4% daripada 14.0% pada tempoh sama tahun sebelumnya. Perbelanjaan pentadbiran menurun kepada RM7.9 juta daripada RM10.2 juta kerana tiadanya perbelanjaan satu kali berkaitan penyenaraian. 

 

“PAT bagi tempoh sembilan bulan berjumlah RM9.5 juta berbanding RM10.3 juta tahun sebelumnya,” kata HE Group.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, syarikat melihat masa depan dengan lebih optimis berikutan persekitaran operasi Malaysia terus stabil. 

 

“Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif serta perjanjian perdagangan timbal balik yang mengekalkan tarif 19% ke atas eksport Malaysia mengecualikan produk semikonduktor, memberikan asas kukuh untuk kestabilan perdagangan dan ketelusan bagi industri berorientasikan eksport.

 

“Dasar negara, terutamanya Belanjawan 2026, memperkukuh aspirasi industri dan teknologi negara. Inisiatif seperti pelaburan RM550 juta oleh Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan, serta Dana Pembangunan Industri di bawah Pelan Induk Industri Baharu 2030, dijangka memperkuat ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya. 

 

Di peringkat global, permintaan bagi cip kecerdasan buatan generasi baharu dan penyusunan semula rantaian bekalan di Asia turut menyumbang momentum baharu kepada industri semikonduktor.

 

HE Group juga terus mengembangkan keupayaannya dengan memenangi projek pusat data baharu di Cyberjaya bernilai kira-kira RM56.6 juta,membuktikan peranan syarikat dalam pembangunan infrastruktur digital negara. 

 

Selain itu, penyertaan syarikat dalam projek solar berskala besar dengan kapasiti puncak 63 megawatt untuk menyediakan sistem pengedaran kuasa dan kerja berkaitan, menunjukkan usaha mempelbagaikan portfolio projek. 

 

Belanjawan 2026 memperkenalkan kapasiti tambahan 2 gigawatt di bawah program LSS6, selaras dengan sasaran kerajaan mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

 

Beliau menegaskan HE Group akan terus menilai projek secara berhati-hati, memastikan penciptaan nilai yang lestari sambil kekal menghadapi dinamik pasaran dan cabaran luaran.

 

Setakat 30 September 2025, syarikat berada dalam kedudukan kewangan yang sihat dengan jumlah tunai dan setara tunai sebanyak RM55.9 juta berbanding pinjaman RM0.9 juta, dan aset bersih per saham meningkat kepada RM0.16 berbanding RM0.15 pada 30 Jun 2025.

 

HE Group Berhad, melalui anak syarikat Hexatech Engineering Sdn Bhd, menyediakan perkhidmatan kejuruteraan elektrik, tertumpu pada sistem pengedaran kuasa untuk premis pengguna akhir seperti kilang industri dan stesen janakuasa industri serta komersial. 

 

Syarikat itu juga menawarkan sistem dan kerja bangunan lain, sambungan dan penyesuaian peralatan elektrik, serta perdagangan produk elektrik. - DagangNews.com