KUALA LUMPUR 16 Julai — Zhulian Corporation Berhad mencatatkan penyusutan hasil 30% kepada RM26.6 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mei 2026 berbanding RM37.8 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Perkembangan lemah itu berikutan terutamanya oleh jumlah jualan lebih rendah, dan kumpulan turut melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) menjunam kira-kira 64% kepada RM2.135 juta bagi 2QFY26.
Kemerosotan ketara ini berpunca daripada gabungan faktor penurunan jualan, perbelanjaan operasi yang tinggi, serta kesan pertukaran mata wang asing (forex) yang tidak memihak kepada syarikat.
"Bagi prestasi hasil berdasarkan geografi, pasaran Malaysia mencatatkan kejatuhan pendapatan yang terbesar iaitu 41% kepada RM4.02 juta," jelas Zhulian dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Sementara pasaran Thailand yang merupakan penyumbang utama hasil kumpulan itu susut 27% kepada RM20.49 juta, manakala jirannya, Kemboja merekodkan penurunan sebanyak 35% kepada RM1.836 juta.
Bagi tempoh enam bulan terkumpul (1H26), keuntungan bersih kumpulan mencatatkan kejatuhan drastik sebanyak 78% kepada RM2.51 juta daripada RM11.56 juta dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan Zhulian bagi tempoh separuh pertama itu juga susut 20% kepada RM54.04 juta. Bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu di Thailand pula turut menyusut 33% kepada RM4.03 juta.
"Keadaan tersebut disebabkan oleh faktor jualan yang lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan insentif untuk pengedar syarikat dalam usaha mengekalkan volum jualan semasa," tambahnya lagi.
Meskipun berdepan prestasi mencabar, kumpulan ujarnya, mengisytiharkan dividen khas 10 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2026, yang melibatkan pembayaran berjumlah RM46 juta.
Mengenai prospek masa hadapan, Zhulian kekal berhati-hati terhadap industri jualan langsung yang dijangka terus mencabar berikutan sentimen pengguna dijangka masih lagi lemah untuk berbelanja.
Tambahnya, peningkatan kos operasi, terutamanya melibatkan harga bahan api dan produk, dijangka terus memberi tekanan besar kepada margin keuntungan syarikat untuk dapat kekal berdaya tahan.
"Sebagai langkah proaktif, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos bagi memastikan perniagaan dalam jangka panjang. - DagangNews.com








