KUALA LUMPUR 16 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2026 kepada 4.7% berbanding 4.5% sebelum ini, didorong prestasi lebih kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaburan berterusan dalam pusat data.
Ketua Ahli Ekonomi HLIB, Felicia Ling, berkata walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana pada separuh kedua 2026 berbanding momentum kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini, asas ekonomi negara kekal kukuh dengan sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan terus menjadi pemacu utama.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan prospek ekonomi Malaysia pada webinar anjuran ICAEW Malaysia yang membincangkan perkembangan ekonomi semasa dan implikasinya terhadap sektor korporat.
Menurut Felicia, sektor pembuatan terus disokong oleh industri E&E, manakala sektor perkhidmatan dipacu perbelanjaan pengguna yang stabil serta pemulihan pelancongan, sementara sektor pembinaan mendapat manfaat daripada projek infrastruktur dan pelaburan berkaitan pusat data.
HLIB menjangkakan eksport semikonduktor Malaysia akan terus berkembang seiring kitaran peningkatan industri cip global, dengan pasaran semikonduktor dunia diunjurkan berkembang 90% pada 2026 hasil permintaan kukuh terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan platform pengkomputeran berprestasi tinggi.
Prestasi itu dijangka terus menyokong eksport E&E Malaysia, khususnya bagi litar bersepadu elektronik, produk storan data, peralatan telekomunikasi dan papan litar bercetak (PCB), sekali gus meningkatkan pengeluaran sektor pembuatan.
Sektor Perkhidmatan
Dalam sektor perkhidmatan, HLIB berkata permintaan domestik kekal berdaya tahan apabila pinjaman isi rumah meningkat 5.2% tahun ke tahun, manakala transaksi kad kredit berkembang 10.2%, mencerminkan perbelanjaan pengguna yang masih kukuh.
Selain itu, gaji sektor perkhidmatan meningkat kepada RM7,592 pada suku pertama 2026, sekali gus menyokong pertumbuhan penggunaan swasta.
HLIB turut menyifatkan pelaburan pusat data sebagai pemacu struktur baharu ekonomi Malaysia apabila pelaburan yang diluluskan mencecah RM431.1 bilion pada 2025, dipacu kemasukan pelaburan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata penyederhanaan import barangan modal sejak kebelakangan ini menunjukkan kadar pertumbuhan pelaburan mungkin lebih perlahan pada tempoh akan datang, sekali gus memerlukan syarikat membuat perancangan modal dengan lebih berhati-hati.
Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare Berhad merangkap Felo ICAEW, Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin, berkata gelombang pelaburan pusat data mewujudkan peluang baharu, namun syarikat perlu terus mengekalkan disiplin dalam pengurusan modal dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
Dari sudut fiskal, HLIB menjangkakan defisit kerajaan meningkat sedikit kepada 3.6% daripada KDNK berbanding sasaran asal 3.5%, manakala peruntukan subsidi petrol dan diesel disemak naik kepada RM40 bilion daripada RM15 bilion bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2026 memandangkan inflasi dijangka kekal terkawal pada sekitar 2.0%, walaupun harga komoditi global meningkat.
Menurut HLIB, gabungan prestasi kukuh sektor E&E, pertumbuhan perkhidmatan yang berdaya tahan, pelaburan pusat data dan kadar faedah yang stabil dijangka terus menyokong ekonomi Malaysia, meskipun berdepan risiko daripada ketegangan perdagangan global, geopolitik serta ketidaktentuan tarif pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com








