KUALA LUMPUR 16 Julai — Sapura Resources Berhad membuat pembetulan terhadap Laporan Tahunan 2026 selepas mengesan ada kesilapan pada tarikh penerbitan pinjaman bercagar boleh ditebus (RCSLS).
Ralat itu melibatkan tahun 2025 yang dinyatakan dan sepatutnya ditulis 2024, bagi memastikan maklumat berhubung instrumen berjumlah RM168 juta itu selaras dengan rekod penyata kewangan syarikat.
Syarikat berkata pembetulan tersebut melibatkan Nota 28 berkaitan RCSLS pada muka surat 198 Laporan Tahunan 2026 yang sebelum ini diserahkan kepada Bursa Malaysia pada 29 Mei 2026.
"Tarikh penerbitan 373 juta unit RCSLS kepada Jurudata Sdn Bhd sebagai sebahagian penyelesaian pendahuluan telah diperbetulkan daripada 2 Julai 2025 kepada 2 Julai 2024," ujar Sapura Resources.
Sehubungan itu jelasnya, tempoh hak penukaran RCSLS oleh pihak Jurudata turut dipinda daripada tarikh 2 Julai 2025 hingga 1 Julai 2034 kepada sepatutnya 2 Julai 2024 hingga 1 Julai 2033.
Syarikat turut membetulkan tarikh matang RCSLS daripada 1 Julai 2034 kepada 1 Julai 2033, bagi semua baki akan ditebus secara automatik pada kadar 109% daripada nilai nominal masih tertunggak.

Menurut Sapura Resources, pembetulan ini dibuat bagi memastikan tarikh penerbitan RCSLS konsisten dengan jadual pergerakan komponen ekuiti dan komponen liabiliti pada muka surat 199 laporan itu.
"Jadual ini merekodkan penerbitan RM76.3 juta bagi komponen ekuiti dan RM91.6 juta bagi komponen liabiliti di bawah tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025, bukannya 31 Januari 2026," katanya.
Syarikat berkata, selain pembetulan tarikh berkenaan, semua terma utama RCSLS termasuk bilangan unit, nilai nominal, harga penukaran 45 sen sesaham, syarat penebusan dan cagaran adalah kekal.
Makluman itu turut menjelaskan pembetulan berkenaan adalah tambahan kepada notis pembetulan atau disebut sebagai errata untuk Laporan Tahunan 2026 yang sudah diumumkan pada 10 Jun 2026.
Sapura Resources berkata, semua maklumat lain dalam laporan tahunan itu adalah tidak berubah dan syarikat memohon maaf atas kesilapan serta sebarang kesulitan yang timbul. - DagangNews.com








