Kerjaya Prospek beli 9.09% kepentingan strategik dalam ES Sunlogy pada harga RM18.76 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek beli 9.09% kepentingan strategik dalam ES Sunlogy pada harga RM18.76 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kerjaya Prospek Group Berhad (KPGB) melabur RM18.76 juta untuk memperoleh pegangan strategik sebanyak 9.09% dalam ES Sunlogy Berhad menerusi langganan 70 juta saham baharu dalam syarikat kejuruteraan dan tenaga boleh baharu itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KPGB berkata pelaburan tersebut dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Acumen Marketing Sdn. Bhd., yang melanggan saham baharu ES Sunlogy pada harga terbitan 26.8 sen sesaham di bawah pelaksanaan penempatan persendirian.

 

Saham baharu berkenaan telah disenaraikan dan mula didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 Julai 2026.

 

Menurut KPGB, harga langganan itu mewakili diskaun kira-kira 9.9% atau 2.96 sen sesaham berbanding purata harga pasaran berwajaran mengikut jumlah dagangan (VWAP) lima hari ES Sunlogy sebanyak 29.76 sen bagi tempoh 30 Jun hingga 6 Julai 2026.

 

Katanya, keseluruhan pertimbangan pelaburan sebanyak RM18.76 juta akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman Acumen.

 

KPGB berkata, keputusan melabur dalam ES Sunlogy dibuat berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh syarikat itu dalam perniagaan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), selain portfolio tenaga boleh baharu yang semakin berkembang.

 

Menurutnya, perniagaan teras ES Sunlogy dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan elektrik bagi sistem pengagihan bekalan elektrik dan kejuruteraan mekanikal untuk bangunan terus disokong oleh permintaan daripada sektor pembinaan, perindustrian dan pembangunan infrastruktur di Malaysia.

 

Selain itu, syarikat berkenaan mempunyai rekod prestasi dalam menyediakan penyelesaian kejuruteraan bersepadu bagi projek komersial, perindustrian, infrastruktur dan tenaga boleh baharu, sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pelaburan awam dan swasta.

 

KPGB turut melihat segmen tenaga boleh baharu ES Sunlogy sebagai pemacu pertumbuhan strategik yang mampu menjana pendapatan berulang dalam jangka panjang.

 

ES Sunlogy sebelum ini telah mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) bagi projek Loji Solar Fotovoltaik Skala Besar 4 (LSS4) Junjong berkapasiti 20.76MWac pada Julai 2023, diikuti projek Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) berkapasiti 29.99MWac menerusi Selarong Pertama Energy Sdn. Bhd. yang mula beroperasi pada April 2026.

 

Menurut KPGB, aset tenaga boleh baharu yang telah beroperasi itu menyediakan aliran pendapatan yang stabil dan berulang, meningkatkan keterlihatan pendapatan serta mengukuhkan penjanaan aliran tunai ES Sunlogy.

 

Dalam jangka panjang, ES Sunlogy turut merancang memanfaatkan kepakarannya dalam pembangunan dan pengoperasian aset tenaga boleh baharu untuk menyertai lebih banyak projek di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) serta inisiatif tenaga boleh baharu lain yang diperkenalkan kerajaan.

 

KPGB berkata, pelaburan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan perniagaan kejuruteraan dan tenaga boleh baharu ES Sunlogy yang disokong oleh trend industri yang positif serta peningkatan penggunaan penyelesaian tenaga mampan, sekali gus berpotensi mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com