KUALA LUMPUR 16 Julai – Johor bakal menjadi lokasi pengeluaran robot pembersihan berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama oleh syarikat tempatan menerusi kerjasama pemindahan teknologi dengan syarikat dari China.
Pengarah Indah Holding Venture (M) Sdn Bhd Datuk B Ravintharan berkata syarikat itu merancang memulakan pembuatan robot berkenaan di kilangnya di Senai bagi memenuhi permintaan pasaran eksport dan tempatan.
"Setakat kajian kami, terdapat syarikat robotik di Malaysia, tetapi kebanyakannya menawarkan perkhidmatan dan belum ada yang mengeluarkan robot khusus untuk kerja pembersihan.
"Ini merupakan peluang untuk kami membangunkan kemudahan pembuatan robot pembersihan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi AI," katanya selepas majlis pelantikan pengerusi syarikat itu di Senai hari ini.
Beliau berkata projek itu bermula selepas syarikatnya diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada sebuah syarikat robotik dari China yang berminat mencari rakan kongsi tempatan.
Ravintharan berkata Indah Holding kini menyediakan perkhidmatan pembersihan secara konvensional dan kerjasama berkenaan membolehkan syarikat itu beralih kepada penggunaan serta pembuatan teknologi automasi.
Labur RM850,000
Beliau berkata syarikat telah membelanjakan kira-kira RM850,000 bagi penyediaan kilang, kerja pengubahsuaian dan kemudahan pengeluaran.
Robot pertama bernilai kira-kira RM35,000 dijangka tiba pada 26 atau 27 Julai ini untuk tujuan pengujian, pemasangan dan persediaan pengeluaran.
"Pelanggan pertama telah memberikan unjuran permintaan sehingga 70,000 unit setahun dan berdasarkan unjuran itu, kami menyasarkan jualan sekitar RM18 juta hingga RM20 juta setahun bagi tempoh awal antara 2026 dan 2028.
"Dalam tempoh lima tahun, kami menyasarkan jualan meningkat sehingga RM50 juta menerusi peluasan pasaran dan pengurangan kos pengeluaran," katanya.
Pasaran Luar Negara
Beliau berkata produk itu akan dikeluarkan di Johor sebelum dieksport ke pasaran luar negara termasuk Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Syarikat juga merancang memperkenalkan robot berkenaan ke pasaran tempatan dalam tempoh satu hingga dua tahun, khususnya bagi sektor komersial seperti pusat beli-belah, kilang, lapangan terbang dan pusat data.
Menurutnya penggunaan robot AI mampu meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja bagi melaksanakan tugas pembersihan rutin.
Ravintharan berkata projek itu dijangka mewujudkan ratusan peluang pekerjaan pada peringkat awal, khususnya kepada juruteknik tempatan selain jawatan jurutera.
"Kita mahu menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan, khususnya anak Johor. Kami tidak mahu hanya mengambil pekerja operator, sebaliknya mahu melatih juruteknik dan tenaga berkemahiran yang mampu mengendalikan teknologi robotik," katanya.

Sokong PKS Tempatan
Beliau berkata syarikat juga bercadang mendapatkan komponen seperti plastik, logam dan peralatan elektronik daripada pembekal tempatan bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat daripada rantaian bekalan projek itu.
Menurutnya pendekatan berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan kepada komponen import selain memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada projek itu kekal dalam negara.
Ravintharan berkata pengalaman ketika pandemik COVID-19 turut menyedarkannya mengenai kepentingan syarikat tempatan mempunyai kilang dan kemudahan pengeluaran sendiri untuk mendapatkan kontrak serta menjamin kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
"Tanpa kilang fizikal, sukar untuk kita meyakinkan pelanggan dan membina perniagaan yang mampan. Sebab itu kami mengambil keputusan membangunkan kemudahan sendiri di Johor," katanya.
Lokasi Strategik Senai
Beliau berkata Senai dipilih kerana kedudukannya yang strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selain berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lebuhraya Utara-Selatan dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Sementara itu pengerusi syarikat itu Datuk Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata projek berkenaan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan syarikat tempatan menceburi sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 36 tahun bersama MIDA berkata projek robotik itu juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) serta usaha mengurangkan pergantungan negara kepada pekerja asing.
Johor Sebagai Hab Pembuatan Berteknologi Tinggi
Pengarah MIDA Johor Mohamad Reduan Mohd Zabri pula berkata pembuatan robot pembersihan AI ini merupakan yang pertama di Johor membabitkan syarikat tempatan dan lebih membanggakan ia dilaksanakan oleh syarikat anak Johor.
"Projek ini juga sejajar dengan matlamat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai antara hab pembuatan berteknologi tinggi," katanya.
Katanya MIDA akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti lebih banyak syarikat tempatan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebahagian daripada ekosistem JS-SEZ.
Beliau berkata pertumbuhan pelaburan di JS-SEZ membuka peluang besar kepada PKS tempatan untuk terbabit dalam sektor teknologi tinggi, rantaian bekalan dan industri sokongan.– BERNAMA








