Terengganu sasar pemindahan teknologi, pelaburan berkualiti menerusi kerjasama Rusia, Switzerland | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu sasar pemindahan teknologi, pelaburan berkualiti menerusi kerjasama Rusia, Switzerland

Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov (gambar kiri) dan Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser (gambar kanan) dalam dua pertemuan berasingan baru-baru ini
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 16 Julai – Terengganu sedang memperluas jaringan ekonomi global dengan meneroka peluang kerjasama strategik bersama Switzerland dan Rusia khususnya dalam bidang teknologi, tenaga, penyelidikan serta pembangunan industri bernilai tinggi.

 

Usaha itu dilihat sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan negeri untuk menarik pemindahan teknologi, memperkukuh pembangunan modal insan dan membuka peluang pelaburan berkualiti yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi Terengganu.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan dengan Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser serta Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov baru-baru ini mencerminkan minat rakan antarabangsa untuk meneroka potensi kerjasama bersama Terengganu.

 

Beliau berkata, Terengganu tidak hanya mahu membina hubungan diplomatik, sebaliknya memastikan setiap jaringan antarabangsa diterjemahkan kepada peluang nyata melalui pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan pertumbuhan ekonomi baharu.

 

Menurutnya, Switzerland mempunyai kekuatan dalam sektor inovasi, teknologi berketepatan tinggi, pendidikan, penyelidikan serta pembangunan ekonomi mampan yang berpotensi disepadukan dengan agenda pembangunan negeri.

 

t
Ahmad Samsuri Mokhtar bersalaman dengan Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov

 

"Antara ruang yang boleh diterokai bersama termasuk pemindahan teknologi, pembangunan bakat, pendidikan teknikal dan profesional, pelancongan bernilai tinggi serta pengembangan ekonomi hijau dan mampan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

 

Dalam pertemuan berasingan bersama wakil Rusia pula, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam sektor tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, penyelidikan, perdagangan serta pembangunan industri bernilai tinggi.

 

Beliau berkata, bidang berkenaan mempunyai kaitan rapat dengan keperluan Terengganu untuk memperkukuh sektor strategik serta meningkatkan keupayaan negeri dalam menghadapi perubahan ekonomi global.

 

Langkah meneroka kerjasama dengan kedua-dua negara itu juga bertepatan dengan usaha Terengganu untuk menarik pelaburan yang membawa nilai tambah lebih tinggi, berbanding hanya bergantung kepada aktiviti ekonomi tradisional.

 

Ahmad Samsuri berkata, hubungan bersama rakan antarabangsa perlu menjadi pemangkin kepada penguasaan ilmu dan teknologi, selain membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa depan.

 

t
Ahmad Samsuri bersama Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser

 

Katanya, hubungan Malaysia-Switzerland yang telah terjalin sejak 1963 serta kehadiran hampir 170 syarikat Switzerland di Malaysia menunjukkan asas kukuh untuk memperluaskan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

 

Beliau turut menegaskan Terengganu terbuka menjalinkan kerjasama dengan mana-mana rakan antarabangsa yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.

 

"Dalam dunia yang semakin saling berhubung, hubungan baik dengan rakan antarabangsa merupakan aset penting untuk memperluas jaringan kerjasama serta memperkukuh daya saing negeri dan negara," katanya.

 

Menurut beliau, setiap hubungan yang dibina perlu membuka ruang kepada peluang baharu termasuk pelaburan, pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat dan pertumbuhan industri masa depan.

 

Jalinan bersama Switzerland dan Rusia itu diharapkan menjadi asas kepada kerjasama lebih besar pada masa akan datang dalam menyokong aspirasi Terengganu membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, berteknologi dan berorientasikan masa depan.- DagangNews.com