Hasil sektor utama diyakini terjejas sedikit disebabkan caruman wajib KWSP pekerja asing - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil sektor utama diyakini terjejas sedikit disebabkan caruman wajib KWSP pekerja asing - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jun — Caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing,  diyakini hanya menjejaskan sedikit hasil beberapa sektor utama, menurut CIMB Securities. 


Firma penyelidikan itu menjangkakan risiko berkenaan kemungkinan besar dalam sektor yang banyak penggunaan buruh warganegara asing seperti perladangan, sarung tangan, teknologi dan pembinaan. 


Tambahnya, kesan negatif terhadap pendapatan sektor berkenaan mungkin akan berlaku pada akhir 2025 dan lebih jelas pada 2026 selepas pelaksanaan caruman mandatori itu bermula Oktober 2025.


"Sektor perladangan diramal paling terjejas, dengan banyak syarikat tidak merancang untuk kos tersebut dimasukkan dalam perbelanjaan gaji bulanan," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.


Ia menganggarkan penurunan sebanyak 0.4 peratus hingga 1.3 peratus dalam pendapatan syarikat untuk tahun kewangan 2026 terhadap saham-saham perladangan yang menerima liputan firma berkenaan.


Bagi sektor sarung tangan, caruman itu dijangka menambah perbelanjaan yang sudah tinggi ketika permintaan lemah ke atas produknya kerana buruh membentuk 9% hingga 10% daripada kos operasi.

 

Sektor teknologi kata CIMB Securities, juga akan terjejas terutama dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan syarikat penyumberan luar bagi pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT).

 

Artikel berkaitan: Caruman 2% KWSP pekerja asing bermula Oktober 2025

 

"Mereka banyak bergantung kepada pekerja asing yang membentuk 60% hingga 65% daripada keseluruhan tenaga kerja untuk EMS, manakala antara 20% dan 25% lagi untuk OSAT pula," kata firma berkenaan.


Sementara sektor pembinaan katanya, dijangka meningkatkan kos tahunan sebanyak RM200 juta, namun impaknya dilihat masih boleh diurus, dengan kontraktor dijangka melaraskan bidaan masa hadapan.


CIMB Securities menambah, dari semasa ke semasa, ia percaya peningkatan kos buruh kemungkinan mendorong banyak syarikat mengurangkan pergantungan buruh asing dan melabur pula dalam automasi.


Walaupun impak kos awal katanya, diunjur boleh dikawal dengan baik, tetapi sebarang kenaikan kadar caruman KWSP pada masa hadapan boleh memburukkan lagi kesan ke atas pendapatan syarikat.


"Bagaimanapun KWSP dijangka mendapat manfaat tambahan RM2.4 bilion setahun, berdasarkan 2.5 juta pekerja asing yang direkodkan dan boleh membantu menyokong kecairan pasaran tempatan," tambahnya.


Pelaksanaan caruman itu selaras dengan pembentangan Belanjawan 2025 dengan majikan dan pekerja asing dikehendaki masing-masing wajib mencarum dua peratus daripada gaji bulanan kepada KWSP.


Sebelum ini, caruman berkenaan adalah secara sukarela dan dasar baharu ini bertujuan mengurangkan jurang perlindungan sosial antara pekerja tempatan dengan asing. - DagangNews.com