KUALA LUMPUR 8 Mei — SD Guthrie Berhad diramal mencatatkan peningkatan hasil lebih kukuh pada separuh kedua 2025 (2HFY25), selepas merekodkan untung bersih RM567 juta pada suku pertama, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB)
Firma penyelidikan tersebut berkata, ramalan itu turut berdasarkan kepada pelbagai faktor termasuk kos pembajaan yang lebih rendah serta keuntungan daripada aktiviti pelupusan tanah sekurang-kurangnya RM500 juta dan dijangka meningkatkan keuntungan utama.
Bagaimanapun, ia turut menjangkakan hasil kumpulan perladangan berkenaan pada suku kedua 2025 mungkin berkurangan mengikut musim penuaian yang lebih lemah sepanjang tempoh tersebut tetapi masih lagi mengekalkan saranan "beli" ke atas saham syarikat itu.
"Keluaran buah tandan segar (BTS) pada 1QFY25 memenuhi 21 peratus daripada ramalan 2025 dan lebih baik jika tidak kerana cuaca luar biasa yang menjejaskan tuaian di estet-estetnya di Johor, Sabah dan Sarawak," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Artikel berkaitan: Untung bersih SD Guthrie pada 1QFY25 melonjak kepada RM567 juta didorong prestasi huluan kukuh
Semalam, SD Guthrie mengumumkan laporan kewangan 1QFY25 yang menunjukkan lonjakan lebih dua kali ganda berbanding hanya sebanyak RM211 juta direkodkan pada 1QFY24 dengan didorong oleh prestasi amat baik dalam aktiviti segmen huluan kumpulan itu.
Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu turut mengekalkan andaian pertumbuhan BTS sebanyak lima peratus tahun ke tahun untuk FY25 dengan menjangkakan masih berlaku peningkatan dalam pengeluaran operasi di Malaysia pada suku tahun akan datang.
"Kami mengekalkan ramalan pendapatan dengan masih belum mengambil kira potensi keuntungan daripada aktiviti jualan tanah atau bahagian keuntungan menerusi pembangunan usaha sama taman perindustrian di Negeri Sembilan," kata Maybank IB lagi.
Ia merujuk kepada pemeteraian perjanjian dengan tiga pihak baru-baru ini untuk projek pembangunan tanah utama SD Guthrie di Bukit Pelandok, Port Dickson yang terletak dalam kawasan pertumbuhan baharu dikenali Malaysia Vision Valley 2.0.
Secara umum, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan harga sasaran untuk syarikat tersebut sebanyak RM5.52 sesaham. - DagangNews.com








