Hasil perkhidmatan Maxis diyakini kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran kompetitif, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil perkhidmatan Maxis diyakini kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran kompetitif, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Hasil perkhidmatan Maxis Bhd pada FY25 diyakini kekal berdaya tahan walaupun berdepan dalam persekitaran yang kompetitif dengan pengendali rangkaian mudah alih itu memberi fokus kepada peningkatan nilai berbanding persaingan harga. 

 

TA Securities menjangkakan peningkatan lebih tinggi daripada segmen perusahaan, didorong usaha pendigitalan yang berterusan dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

 

"Bagi FY25, hasil perkhidmatan dianggar berkembang pada kadar satu digit yang rendah, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berkembang pada kadar yang lebih perlahan dan perbelanjaan modal (Capex) perlu kekal di bawah RM1 bilion.

 

"Berikutan panduan pendapatan terkini daripada pengurusan, ramalan pendapatan untuk FY25 dan FY26 masing-masing dikurangkan sebanyak 7.4% dan 8.4%, selepas mengambil kira perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi.

 

"Sementara itu, kami memperkenalkan unjuran pendapatan FY27 sebanyak RM1.7 bilion, mewakili pertumbuhan pendapatan sebanyak 4.8%," katanya alam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maxis catat peningkatan untung bersih sebanyak 40.7% kepada RM1.39 bilion pada FY24 disokong perbelanjaan operasi lebih rendah

 

Terdahulu, hasil kumpulan itu bagi FY24 meningkat kepada RM10.54 bilion berbanding RM10.18 bilion pada FY23.

 

Bagi suku tahun keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM321 juta berbanding RM56 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan hasil sebanyak RM2.77 bilion berbanding RM2.74 bilion pada 4QFY23.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak empat sen sesaham dan dividen satu kali sebanyak satu sen sesaham, sebagai pertimbangan prestasi kukuh syarikat bagi tahun tersebut.

 

TA Securities berkata, untung teras Maxis pada FY24 sebanyak RM1.39 bilion adalah di dalam jangkaan, mencakupi 95.4% dan 100.0% daripada anggaran tahun penuh dan konsensus.

 

Katanya, hasil perkhidmatan FY24 melonjak 3.5% kepada RM8.87 bilion, didorong perniagaan pengguna (+2.7%) dan perusahaan (+6.8%).

 

"Pertumbuhan dalam perniagaan pengguna didorong terutamanya penglibatan pelanggan yang lebih baik dan rangkaian tawaran perkhidmatan yang diperluas dalam segmen sambungan mudah alih dan rumah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) lebbih rendah RM3.68 sesaham.- DagangNews.com