Maxis catat peningkatan untung bersih sebanyak 40.7% kepada RM1.39 bilion pada FY24 disokong perbelanjaan operasi lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis catat peningkatan untung bersih sebanyak 40.7% kepada RM1.39 bilion pada FY24 disokong perbelanjaan operasi lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Feb - Syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 40.7% kepada RM1.39 billion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM993 juta pada tahun sebelumnya disokong perbelanjaan operasi serta susut nilai lebih rendah.

 

Kumpulan itu berkata, secara keseluruhannya, hasil bagi FY24 meningkat kepada RM10.54 bilion berbanding RM10.18 bilion pada FY23.

 

Bagi suku tahun keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM321 juta berbanding RM56 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan hasil sebanyak RM2.77 bilion berbanding RM2.74 bilion pada 4QFY23.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak empat sen sesaham dan dividen satu kali sebanyak satu sen sesaham, sebagai pertimbangan prestasi kukuh syarikat bagi tahun tersebut.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM8.87 bilion pada tahun kewangan 2024 (FY24), mewakili peningkatan 3.5% kerana ia mengekalkan momentum pertumbuhannya dalam segmen perniagaan pengguna dan perusahaan.

 

"Peningkatan hasil dan pengurusan kos yang berdisiplin menghasilkan peningkatan 4.1% tahun ke tahun dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM4.12 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Goh Seow Eng berkata, pihaknya memperuntukkan belanjawan RM674 juta dengan tumpuan kepada pelaburan penting yang meningkatkan keupayaan rangkaian bersepadunya.

 

Katanya, aliran tunai bebas operasi meningkat kepada RM3.06 bilion, didorong pengurusan modal kerja yang dipertingkatkan dan kecekapan operasi. Baki tunai kekal stabil pada RM464 juta.

 

Beliau berkata, hasil perkhidmatan dalam perniagaan pengguna meningkat 2.7% tahun ke tahun disebabkan inisiatif penglibatan pelanggan dan tawaran yang disesuaikan merentas segmen mudah alih dan rumah.

 

"Syarikat mengekalkan momentum kukuh dalam pascabayar dengan rancangan dipertingkat yang menawarkan lebih banyak data dan pilihan untuk pelanggan.

 

"Bagi prabayar, Maxis terus menyediakan pelanggan dengan nilai terbaik melalui peningkatan kelajuan dan data. Pelan mudah alih direka untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, membolehkan pelanggan memanfaatkan sepenuhnya faedah perkhidmatan 5G," katanya.

 

Beliau berkata, perniagaan perusahaan Maxis mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan hasil perkhidmatan meningkat 6.8%, didorong pertumbuhan dalam perkhidmatan sambungan terasnya serta penyelesaian bersebelahan yang didayakan oleh ketersambungan, seperti awan, perkhidmatan terurus, keselamatan siber dan internet kebendaan (IoT).

 

"Kami terus mencapai keputusan positif dengan memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting iaitu menyampaikan nilai kepada pelanggan kami.

 

"Strategi kukuh kami, digabungkan dengan pelaksanaan berdisiplin, menekankan perkhidmatan pelanggan, kebolehpercayaan rangkaian, dan kecekapan operasi, membolehkan kami mengembangkan tawaran kami dan meningkatkan pengalaman pelanggan merentas setiap segmen pasaran," katanya. - DagangNews.com