Hasil MClean meningkat 30.29% kepada RM21.34 juta pada 4QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil MClean meningkat 30.29% kepada RM21.34 juta pada 4QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb – MClean Technologies Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) disokong pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan serta peningkatan ketara margin keuntungan hasil kecekapan operasi yang lebih baik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia merekodkan pendapatan sebanyak RM21.34 juta, meningkat 30.29% berbanding RM16.38 juta pada suku sama tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan aktiviti dalam segmen pembersihan ketepatan (precision cleaning) dan rawatan permukaan (surface treatment).

 

“Keuntungan kasar bagi suku berkenaan melonjak kepada RM8.19 juta berbanding RM3.24 juta sebelum ini, manakala margin keuntungan kasar berkembang kepada 38.39%, mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam kecekapan operasi dan kawalan kos.

 

“Namun, keuntungan sebelum cukai (PBT) pada 4QFY2025 berjumlah RM3.23 juta, lebih rendah berbanding RM4.02 juta pada 4QFY2024 disebabkan ketiadaan pendapatan lain yang lebih tinggi seperti direkodkan pada tahun sebelumnya. 

 

“Keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku itu berjumlah RM2.67 juta berbanding RM3.87 juta sebelumnya,” kata syarikat itu dalam makluman tersebut.

t
Datuk Dr. Terence Tea Yeok Kian

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif MClean Technologies, Datuk Dr. Terence Tea Yeok Kian berkata, prestasi suku keempat dan keseluruhan FY2025 mencerminkan kekuatan operasi teras kumpulan serta kejayaan dalam memperkukuh margin dan kecekapan operasi.

 

Mengulas prospek, beliau berkata kumpulan kekal optimis terhadap pertumbuhan masa depan dengan tumpuan untuk memperkukuh keupayaan pembersihan ketepatan dan rawatan permukaan, memperluas operasi pengacuan suntikan plastik serta melabur dalam teknologi canggih di Malaysia, Singapura dan Thailand bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang

 

Dari perbandingan suku ke suku, pendapatan meningkat 24.64% berbanding RM17.12 juta pada 3QFY2025, manakala PBT turut meningkat 5.36% kepada RM3.23 juta, mencerminkan disiplin operasi yang mampan walaupun kos pentadbiran lebih tinggi.

 

Bagi setahun penuh FY2025, MClean Technologies merekodkan pendapatan sebanyak RM70.54 juta, meningkat 15.04% tahun ke tahun, disokong permintaan stabil terhadap perkhidmatan pembersihan ketepatan dan rawatan permukaan daripada pelanggan utama.

 

Keuntungan kasar tahunan meningkat 64.00% kepada RM27.00 juta, dengan margin keuntungan kasar bertambah baik kepada 38.28%, mencerminkan keberkesanan strategi peningkatan kecekapan dan leverage operasi kumpulan.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi FY2025 melonjak 92.43% kepada RM12.33 juta, manakala keuntungan bersih selepas cukai meningkat 88.70% kepada RM11.63 juta. 

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat turut meningkat 85.98% kepada RM11.61 juta.

 

Prestasi kumpulan terus disokong oleh permintaan berterusan daripada sektor Hard Disk Drive (HDD) dan elektronik pengguna, sejajar dengan trend pendigitalan, peningkatan keperluan storan data serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur pusat data. - DagangNews.com