KUALA LUMPUR 24 Feb - Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) dijangka mendapat manfaat daripada prospek pasaran timah global yang terus berada pada paras tinggi dalam suasana jangkaan defisit bekalan berpanjangan, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan itu berkata, dari sudut permintaan, penggunaan timah dalam sektor elektronik kekal kukuh, khususnya sebagai bahan pateri yang merangkumi lebih 45% daripada penggunaan global.
Permintaan komoditi itu juga semakin dipacu oleh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) serta pertumbuhan jualan semikonduktor dan pembangunan pusat data di peringkat global.
“Peranan timah dalam pemasangan litar elektronik menjadikannya komponen kritikal dalam rantaian nilai teknologi, sekali gus mendapat manfaat langsung daripada peningkatan pelaburan dalam AI dan infrastruktur digital,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Selain itu, pertumbuhan teknologi hijau dan kenderaan elektrik turut menyumbang kepada peningkatan permintaan, memandangkan timah digunakan dalam komponen konduktif serta aplikasi bateri.
Dalam masa sama, bekalan global dijangka terus terhad berikutan gangguan operasi berterusan di beberapa negara pengeluar utama seperti Indonesia dan Myanmar.
Keadaan itu mewujudkan pasaran yang kekal ketat, sekali gus menyokong harga timah pada paras tinggi dalam tempoh terdekat.
PublicInvest berpandangan, selagi isu gangguan bekalan tidak diselesaikan dan permintaan kekal berdaya tahan, harga timah berkemungkinan terus disokong oleh faktor asas yang kukuh.
Sehubungan itu pihaknya menaikkan unjuran pendapatan MSC bagi FY26 hingga FY27 sebanyak purata 31%, mengambil kira jangkaan harga dan margin timah yang lebih tinggi.
“Semakan naik ini disokong oleh kekangan bekalan global yang berterusan serta permintaan yang kekal berdaya tahan daripada sektor elektronik dan pusat data,” katanya.
PublicInvest turut menaik taraf penarafan saham MSC kepada “Outperform” dengan harga sasaran baharu RM2.00 berbanding RM1.48 sebelum ini, berdasarkan gandaan 15 kali pendapatan sesaham (EPS) FY26F.
MSC menutup FY25 dengan prestasi kewangan lebih kukuh apabila mencatatkan peningkatan 32.2% tahun ke tahun dalam keuntungan bersih suku keempat kepada RM39.9 juta, disokong harga timah yang lebih tinggi serta penjimatan kos operasi.
Bagi tempoh 12 bulan FY25, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM82.0 juta.
Selepas mengambil kira pelarasan item bukan teras, prestasi tersebut mengatasi jangkaan penganalisis dan konsensus pasaran. - DagangNews.com








