Harga minyak sawit mentah rendah pada FY26 berisiko kurangkan hasil Sarawak Oil Palms, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah rendah pada FY26 berisiko kurangkan hasil Sarawak Oil Palms, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Prestasi kukuh pengeluaran buah tandan segar (BTS) melonjakkan keuntungan Sarawak Oil Palms Berhad bagi FY25, namun prospek FY26 adalah berbeza, kata penganalisis.


Menurut dua firma penyelidikan, harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah dijangka pada FY26 kekal menjadi risiko utama kepada trajektori pendapatan syarikat perladangan berkenaan.


Bagaimanapun mereka mengekalkan saranan positif terhadap saham kumpulan tersebut susulan keputusan kewangan bagi 4Q2FY5 yang mengatasi jangkaan, didorong pemulihan volum dan kawalan kos lebih baik.


Maybank Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM5.47 berbanding RM5.37 sebelum ini, berdasarkan gandaan 11 kali unjuran nisbah harga kepada hasil FY26.


"Keuntungan bersih teras suku keempat naik 27% tahun ke tahun (YoY) kepada RM170 juta selepas pelarasan item bukan tunai, menjadikan keuntungan teras FY25 sebanyak RM485 juta," jelas firma itu.


Ia melepasi unjuran mereka sebanyak 13%, dengan prestasi Sarawak Oil Palms itu disokong peningkatan BTS sebanyak 13% YoY, selain harga jualan purata (ASP) isirung sawit (PK) yang didapati kukuh.


Walaupun ASP ke atas produk sawit lebih rendah, kos operasi terkawal membantu dalam mengekalkan margin, dan bagi FY26, Maybank IB menjangkakan pertumbuhan BTS mampu mencecah sekitar 3% YoY.


Firma itu namun mengunjurkan penyusutan perolehan sesaham (EPS) teras 8% berikutan jangkaan harga MSM lebih rendah, dan menaikkan unjuran FY26 sebanyak 2% susulan andaian kos unit lebih rendah.


"Dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.2 bilion atau kira-kira 35% daripada permodalan pasaran Sarawak Oil Palms sendiri, kami melihat potensi kenaikan dividen bagi syarikat tersebut," katanya.


Mereka juga menjangkakan jumlah dividen yang akan diumumkan syarikat itu bagi FY25 sekurang-kurangnya 15 sen sesaham iaitu 30% nisbah pembayaran, dengan hasil dividen bersih sekitar 3.9%.


Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP baharu RM4.25 berbanding RM4.22, yang mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 10% dan hasil dividen pada FY26 sekitar 3.6%.


Jelas firma penyelidikan tersebut, keuntungan teras bagi 4QFY25 melonjak 26.5% suku ke suku (QoQ), menjadikan keuntungan FY25 iaitu RM485 juta, memenuhi 100% jangkaan mereka dan 106% konsensus.


"Pertumbuhan BTS bagi FY25 sebanyak 3.13% mengatasi unjuran kami, manakala pengeluaran MSM dan PK pada suku keempat meningkat kukuh 39.6% QoQ. Pengeluaran Januari 2026 juga naik 12% YoY," katanya.


RHB Research menjangkakan pertumbuhan BTS kira-kira 4% bagi FY26, dan meskipun harga baja tender meningkat 15% bagi sebahagian besar keperluan, pengurusan menyasar kos unit pada paras mendatar.


Dari segi hiliran, walaupun cabaran pasaran India dan perubahan levi eksport Indonesia pada Mac 2026, Sarawak Oil Palms kekal optimis dengan strategi mempelbagaikan pembeli berkualiti tinggi.


Secara keseluruhan, firma itu melaraskan unjuran pendapatan FY26 antara +0.9% hingga -2.8%, dengan saham kini diniagakan sekitar 8 kali nisbah harga FY26, iaitu pada hujung bawah julat rakan setara.


"Kami berpandangan kumpulan ini kekal berdaya tahan disokong pertumbuhan volum, kecekapan kos dan kedudukan tunai, meskipun berdepan risiko harga MSM lebih sederhana," jelasnya. - DagangNews.com