KUALA LUMPUR 17 Jun - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal antara RM3,900 hingga RM4,200 satu tan pada Jun dan Julai 2025, walaupun stok minyak sawit pada bulan lalu melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Menurut MPOC, walaupun stok bertambah kepada 1.77 juta tan bulan lalu, harga MSM dijangka kekal stabil didorong permintaan eksport yang kukuh, harga lebih murah berbanding minyak kacang soya dan harga minyak mentah dunia yang tinggi.
"Peningkatan pengeluaran ini didorong oleh keadaan cuaca yang baik untuk aktiviti menuai," katanya dalam satu kenyataan.
Agensi itu memaklumkan, permintaan tinggi dari China dan India membantu meningkatkan eksport, dengan kedua-dua negara tersebut menyumbang 28% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada Mei lalu.
MPOC menjangka, permintaan dari India akan terus meningkat selepas negara berkenaan mengurangkan duti import, yang kini mewujudkan perbezaan duti sebanyak 19.25% antara minyak mentah dan minyak sawit bertapis.
Malaysia dijangka mendapat manfaat kerana kebanyakan eksport ke India adalah dalam bentuk MSM.
Selain itu, harga minyak sawit kini pada RM352.17 setiap tan lebih murah daripada minyak kacang soya, menjadikannya pilihan lebih jimat untuk pembeli India.
Bagaimanapun, MPOC menjangka pengeluaran pada bulan ini akan berkurang disebabkan hari menuai yang terhad akibat cuti umum dan negeri.
"Harga minyak sayuran dijangka kekal stabil bulan ini susulan pengurangan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China," jelasnya.
Namun, kenaikan harga mungkin terhad kerana bekalan minyak bunga matahari dan kanola dijangka meningkat sebanyak 8.1 juta tan pada musim menuai akan datang.
Pengeluaran soya yang tinggi juga dijangka menyebabkan lebihan stok berpanjangan hingga tahun 2026.
Di AS, harga minyak kacang soya meningkat disumbangkan dasar bahan api bio baharu yang mengutamakan bahan tempatan serta cadangan pentadbiran Trump di bawah Renewable Fuel Standard (RFS) yang mewajibkan campuran biodiesel.
MPOC menjangka risiko penurunan harga pada Julai adalah rendah, kerana stok dijangka kekal sekitar dua juta tan, disokong oleh eksport yang kuat dan pengeluaran yang perlahan selepas kemuncak pada April dan Mei. - DagangNews.com








