Harga emas terus stabil, perak masih tertekan, MBSB Research saran 'beli' Dialog dan SD Guthrie | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga emas terus stabil, perak masih tertekan, MBSB Research saran 'beli' Dialog dan SD Guthrie

Foto kredit Public Gold
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Feb — Pasaran komoditi tempatan dan global mencatat minggu yang mencabar selepas aktiviti penjualan besar-besaran sepanjang minggu lalu, menurut MBSB Research dalam analisisnya.


Firma penyelidikan tersebut berkata, sebahagian besar pelabur didapati menunjukkan pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap logam berharga, minyak dan gas serta produk berasaskan kelapa sawit. 


Bagaimanapun ia melaporkan emas kekal stabil, apabila harganya naik sedikit 1.97% minggu ke minggu (WoW) selepas jatuh 2.4% pada minggu sebelumnya, menunjukkan permintaan defensif yang masih kukuh.


"Logam ini terus stabil meskipun sentimen pasaran lemah, tetapi perak terus tertekan, merosot 7% WoW, mengekalkan trend jualan agresif dicatat minggu sebelumnya (-17% WoW), jelas MBSB Research.


Sementara itu tambah firma berkenaan, harga tembaga pula didapati terus bergerak secara mendatar, mencerminkan permintaan industri logam yang sebenarnya masih seimbang tanpa ada arah jelas.


Pengukuhan Indeks Dolar Amerika Syarikat (AS) selepas pencalonan Kevin Warsh sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan baharu negara tersebut menyumbang tekanan tambahan ke atas logam berharga.


Perkembangan berkenaan kata MBSB Research, mendorong pelabur untuk kembali kepada aset dengan kadar kecairan yang tinggi, manakala minyak penanda aras antarabangsa, 'Brent Crude' meningkat sedikit.


"Ia naik kepada AS$68 (RM266) setong, disokong ketegangan geopolitik di Oman yang menambah 'premium perang', sementara harga gas asli sekitar USD3.30 (RM12.95) setiap MMBtu," tambah firma berkenaan.


Keadaan tersebut jelas firma itu, mencerminkan pemulihan kembali selepas kejatuhan secara mendadak pada musim sejuk baru-baru ini, dan ia turut mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor tenaga.


Pilihan utama MBSB Research ialah Dialog Group Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.17, dan meramalkan harga minyak lemah mengehadkan potensi kenaikan harga saham pemain utama.


Harga minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih rendah pada RM4,108 setiap tan dengan purata mingguan RM4,130 setiap tan (-0.8% WoW) menjelang data terkini Lembaga Minyak Sawit Mentah (MPOB) bulan ini. 


"Walaupun terdapat permintaan meningkat bagi persediaan perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan, stok bekalan yang kukuh dijangka mengekalkan harga dalam julat RM4,000 hingga RM4,200," katanya.


Dalam saham perladangan, MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas SD Guthrie Berhad dan TP RM6.15, disokong pertumbuhan pengeluaran 5%, dan hasil buah tandan segar (BTS) 19.63 tan sehektar.


Kadar gear bersih syarikat tersebut pula jelas firma berkenaan, masih lagi kukuh apabila berada pada paras terendah sejak disenaraikan iaitu 19 kali, menjadikannya pilihan stabil bagi kebanyakan pelabur.


Secara keseluruhan, pelabur digalakkan bersikap selektif, dengan logam berharga menghadapi tekanan jualan, harga MSM mengekalkan trend lemah, manakala pasaran tenaga terus kekal berhati-hati.


"Pilihan saham strategik seperti Dialog Group dan SD Guthrie berpotensi memberi peluang bagi pulangan defensif dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu," katanya. - DagangNews.com