Gas Malaysia diyakini catat pendapatan kukuh sehingga RM120 juta pada 4QFY24 - UOB Kay Hian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gas Malaysia diyakini catat pendapatan kukuh sehingga RM120 juta pada 4QFY24 - UOB Kay Hian

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb - Gas Malaysia Berhad dijangka mampu merekodkan pendapatan suku tahunan yang kukuh dalam keputusan suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) akan datang, dengan keuntungan bersih teras antara RM100 juta dan RM120 juta.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research dalam laporan tinjauannya itu berkata, hasil keuntungan bersih teras sebanyak RM120 juta akan mewakili pertumbuhan tiga peratus suku ke suku (q-o-q) dan 15 peratus tahun ke tahun (y-o-y) bagi kumpulan tersebut.

 

Ia menyatakan bahawa pemacu utama yang meningkatkan pendapatan kumpulan termasuk pertumbuhan isipadu gas asli (NG) sebanyak 10 peratus, dengan nisbah operasi dan margin runcit positif Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd (GMES).

 

Sebagai imbasan sebelum ini, pendapatan sembilan bulan pertama Gas Malaysia 2024 (9M24) dicirikan oleh bekalan NG yang lebih kukuh daripada jangkaan serta operasi positif memandangkan kuantiti lebih tinggi dan hasil terkawal yang lebih baik.
 

Selain itu kata nota kajian UOBKH Research tersebut, kekukuhan perolehan ini bakal membantu syarikat dalam mengimbangi harga NG yang agak rata sepanjang tahun.

 

Justeru berlatarbelakangkan aliran tunai operasi yang kukuh, firma penyelidikan itu menjangkakan kadar bayaran dividen yang lebih tinggi akan direkodkan Gas Malaysia dengan pembayaran minimum sebanyak 75 peratus.

 

“Berdasarkan anggaran kami, saham syarikat itu menawarkan hasil dividen enam peratus yang menarik untuk tahun ini,” tambahnya.

 

Secara berasingan, UOBKH Research memahami bahawa Gas Malaysia bercadang untuk membina loji pengegasan semula di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

 

Rakan kongsi asing, kemungkinan dari Jepun, bersama Gas Malaysia mungkin bakal membina fasiliti tersebut bernilai AS$1 bilion, dengan jangkaan beroperasi pada 2029.

 

Berdasarkan keperluan ekuiti RM200 juta hingga RM300 juta untuk loji pengegasan semula, syarikat penyelidikan itu menjangka Gas Malaysia akan membayar 75 peratus hingga 90 peratus daripada aliran tunainya sepanjang 2025 hingga 2027.

 

Sementara itu, UOBKH Research berkata, ia adalah tahun yang penting bagi GMES kerana kontrak pelanggan akan diperbaharui. Gas Malaysia menguasai 80 peratus bahagian pasaran runcit NG di Semenanjung Malaysia.

 

“Secara positif, kami memahami bahawa Gas Malaysia telah memperoleh pembaharuan kontrak untuk sekurang-kurangnya 90% daripada pangkalan pelanggan semasanya.

 

“Bagaimanapun kami faham bahawa isipadu NG yang dijamin oleh pelanggan sedia ada adalah lebih tinggi daripada terma kontrak semasa.

 

"Kami juga memahami bahawa sesetengah pelanggan telah kembali kepada Gas Malaysia setelah sebelum ini bertukar kepada pesaing untuk kontrak tiga tahun," kata firma penyelidikan berkenaan.

 

Menurut UOBKH Research, potensi keuntungan bahagian pasaran dalam segmen runcit akan menjadi pemangkin penilaian semula utama bagi kumpulan tersebut.

 

Gas Malaysia dijangka memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi. Kumpulan itu juga mencatatkan pendapatan tiga tahun terpuji dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak tujuh peratus. - DagangNews.com