Gamuda perlu RM3 bilion kontrak baharu kekalkan buku tempahan RM50 bilion akhir 2026 – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda perlu RM3 bilion kontrak baharu kekalkan buku tempahan RM50 bilion akhir 2026 – Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 SeptGamuda Berhad hanya memerlukan RM3 bilion kontrak baharu untuk memastikan buku tempahannya kekal melebihi RM50 bilion menjelang akhir 2026, menurut analisis Phillip Capital.

 

Firma itu berkata kedudukan tersebut menunjukkan tahap keterlihatan pendapatan kukuh, selepas kumpulan pembinaan berkenaan mencatat kemenangan kontrak sebanyak RM7.3 bilion setakat tahun ini.

 

Jumlah ini ujarnya, bersamaan 29% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan RM25 bilion bagi FY27, dan turut disokong dua lagi kontrak pusat data (DC) baharu yang berjumlah RM3.6 billion.

 

"Projek Gamuda di Port Dickson, Negeri Sembilan itu dianugerahkan sebuah syarikat multinasional (MNC) yang juga merupakan pelanggan DC sedia ada kumpulan tersebut," kata nota Phillip Capital.

 

Dua kontrak itu jelasnya, melibatkan pembinaan premis satu tingkat, merangkumi infrastruktur tapak, struktur teras dan dalaman bangunan, serta kerja pemasangan mekanikal, elektrik dan paip (MEP).

 

Kontrak berkenaan dijangka bermula pada suku keempat tahun kalendar 2026 (4QCY26), dengan DC yang pertama dijadualkan siap pada 3QCY28, manakala projek kedua pula dijangka menjelang 4QCY28.

 

Phillip Capital menambah, projek tersebut merupakan sebahagian daripada tapak seluas 157 hektar milik Pearl Computing dengan Gamuda pernah memperoleh dua kontrak DC di kawasan sama sebelum itu.

 

Gamuda_DagangNews2026

 

"Status sebagai kontraktor sedia ada memberikan kelebihan dari segi pengalaman dan kefahaman terhadap keperluan tapak, serta meningkatkan potensi memperoleh kontrak seterusnya," jelasnya.

 

Keseluruhan tapak itu berpotensi menempatkan sehingga lapan DC, dengan nilai pembinaan keseluruhan dianggarkan RM15 bilion, manakala kontrak terbaharu itu pula dijangka mempunyai margin kasar 8%.

 

Dengan diambil kira kadar penggunaan hasil RM1.3 bilion sebulan, Phillip Capital berkata Gamuda hanya memerlukan RM3 bilion kontrak baharu bagi memastikan buku tempahan kekal lebih RM50 bilion.

 

Selain DC, kumpulan itu turut mempunyai peluang tender kukuh dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), di samping projek Transit Aliran Massa (MRT) serta infrastruktur di Taiwan dan Singapura.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah iaitu RM5.33 sesaham berdasarkan penilaian kaedah jumlah bahagian (SOP)," tambahnya.

 

Bagaimanapun, Phillip Capital mengingatkan antara risiko utama Gamuda ialah kelewatan pelaksanaan atau pemberian projek, gangguan rantaian bekalan, serta prestasi jualan hartanah lebih lemah. - DagangNews.com