KUALA LUMPUR 19 Feb — Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) tetap kekal komited untuk meningkatkan piawaian amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia tanpa mengira perubahan dasar Amerika Syarikat (AS).
Naib Presidennya, Jacob Lee bagaimanapun, mengakui pentadbiran baharu AS di bawah Presiden Donald Trump kemungkinan besar masih lagi mempunyai sedikit pengaruh terhadap isu perkembangan ESG di seluruh Malaysia.
Beliau namun menegaskan bahawa banyak negara lain, termasuk anggota Kesatuan Eropah (EU), kekal memberikan komitmen mereka terhadap kemajuan ESG melalui inisiatif tertentu seperti mekanisme pelarasan sempadan karbon.
“Perubahan iklim bukan sekadar cabaran untuk perdagangan sejagat tetapi soal kelangsungan hidup manusia. Kita dapat melihat kesan cuaca ekstrem di Malaysia, dengan banjir lebih kerap dan isu lain yang berkaitan," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kerjasama ESG Strategik Awam-Swasta oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang kemudian turut merasmikan projek rintis Kelestarian Awan Microsoft.
Mengulas lebih lanjut, Lee berkata bahawa gabungan pengilang tersebut telah lama bergiat dalam mempromosikan program pembinaan kapasiti untuk mendidik kesemua ahlinya mengenai isu pematuhan standard ESG ditetapkan.
"Kami akan terus memperjuangkan penggunaan prinsip ESG dan berusaha ke arah pembinaan industri di Malaysia yang lebih hijau," katanya sambil berikrar akan juga bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Langkah berkenaan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
Inisiatif berkenaan ujarnya, mampu membantu semua pengilang dalam membangunkan pelan hala tuju ESG mereka tersendiri dan melaksanakan pula penilaian kendiri untuk menilai kesediaan mereka terhadap pematuhan ESG.
Dalam pada itu, Lee menyatakan bahawa FMM kekal optimis secara berhati-hati berhubung masa depan sektor pembuatan sepanjang tahun ini, walaupun Trump kembali menerajui negara kuasa besar dunia itu.
"Walaupun Trump sudah melangkah masuk, masih banyak faktor yang perlu dipantau. Tahun ini pula, Malaysia menerajui ASEAN, yang akan bawa lebih banyak aktiviti dan peningkatan pelaburan dari pelbagai pihak," jelasnya.
Justeru, beliau menjangkakan lebih banyak projek industri yang berpotensi sedang diwujudkan di seluruh Malaysia, termasuk pusat data, selain tambahan pelaburan datang dari pengilang China dan Taiwan.
Beliau bahkan yakin dengan aliran masuk pelaburan langsung asing ke Malaysia dan ASEAN, serta pertumbuhan dalam eksport dengan potensi penambahbaikan berbanding tahun lepas. - DagangNews.com








