KUALA LUMPUR 12 Feb - Penyedia penyelesaian teknologi air, Insights Analytics Bhd (IAB) memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk Pasaran ACE Bursa Malaysia dalam usaha mengumpul dana bagi mengembangkan pejabat dan operasi serta modal kerjanya.
Cadangan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 121 juta saham baharu dan tawaran penjualan 27.5 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut draf prospektus yang telah difailkan dengan Bursa Malaysia.
Secara keseluruhannya, potensi penyenaraian tersebut akan menawarkan pelabur sehingga 22 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan yang berpangkalan di Sarawak dan telah ditubuhkan pada Mei 2003 lalu.
IAB menjalankan bisnes pengurusan air merentasi rantaian bekalan daripada rawatan hingga pengedaran serta membekalkan penyelesaian pengurusan aset pintar untuk pelanggan industri lain seperti hospitaliti, pengangkutan dan pembinaan.
Setakat ini, pelanggan syarikat berkenaan terdiri daripada beberapa agensi di Sarawak, termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Lembaga Air Sibu, Laku Management Sdn Bhd dan Lembaga Air Kuching.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024, IAB memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM6.9 juta dengan hasil RM31.95 juta. Margin untung kasar ialah 40 peratus manakala margin keuntungan sebelum cukai ialah 30.3 peratus.
Di bawah cadangan IPO ini, syarikat itu akan memperuntukkan 16.25 juta saham baharu untuk orang ramai, 19.5 juta saham untuk individu berkelayakan dan 42.25 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Hasil daripada terbitan awam digunakan untuk pembesaran pejabat korporat di Sarawak dengan pusat data mini, pembesaran pejabat cawangan semasa di Selangor dan pengembangan operasi teknologi maklumat melalui pengambilan pekerja baharu.
Sementara itu, hasil daripada tawaran jualan akan terakru sepenuhnya kepada kumpulan pemegang sahamnya, iaitu Pengarah Urusan IAB, Wee Khiam Hui; Pengarah Eksekutif, Bong Joon Fook dan Ketua Pegawai Operasi, Charlene Bong Myn Ee.
Selepas IPO tersebut diterbitkan, pegangan mereka bakal berkurangan kepada 37.2 peratus untuk Khiam Hui, manakala pegangan Joon Fook pula akan jatuh kepada 17.5 peratus dan Myn Ee kepada 18.3 peratus.
M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO syarikat berkenaan. - DagangNews.com








