KUALA LUMPUR 11 Feb — Aktiviti pengambilan untung jangka pendek menjadi isu kritikal menekan pergerakan indeks FBMKLCI semalam, namun Maybank Investment Bank menegaskan situasi masih stabil.
Perkembangan itu lebih bersifat penyatuan sihat, bukan petanda pembalikan trend pasaran, dan firma tersebut berkata indeks utama ini gagal mengekalkan kenaikan awal pagi sebelum ia ditutup rendah.
FBMKLCI susut sebanyak 3.76 mata atau 0.21% kepada 1,747.54 mata, dengan kira-kira 70% komponen indeks ditutup rendah, namun sentimen pasaran di Bursa Malaysia secara keseluruhan masih positif.
"Jumlah kaunter untung mengatasi rugi pada nisbah 560 berbanding 547, dengan tekanan jualan selepas kenaikan sebelum ini adalah normal tanpa menjejaskan hala tuju jangka sederhana," kata Maybank IB.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan FBMKLCI bergerak dalam julat 1,740 hingga 1,760 mata dalam tempoh terdekat, dengan paras sokongan kekal antara 1,685 mata dan 1,640 mata.
Dari sudut sektor, ia terus menyukai sektor perladangan, meskipun momentum jangka pendek sedikit perlahan, memandangkan indeks sektor berkenaan kekal berdaya tahan dan trend menaik masih utuh.
Sebaliknya, Maybank IB mengingatkan pelabur agar berhati-hati terhadap sektor penjagaan kesihatan, kerana kekuatan akhir-akhir ini dipacu kaunter sarung tangan yang masih lagi dalam aliran menurun.
"Kami mengesyorkan 'beli' ke atas SP Setia Berhad, dengan harga henti rugi pada 83 sen, manakala paras rintangan pertama adalah RM1.02 dan rintangan kedua pula RM1.13," kata firma berkenaan.
Saham ini tambahnya, dilihat menemui sokongan kukuh pada paras sekitar 86 sen, sebelum melantun untuk melepasi purata pergerakan 21 hari (EMA), yang menandakan kesinambungan pembalikan menaik.
Selain itu, Maybank IB menyarankan 'beli' Bermaz Auto Berhad dengan henti rugi 73 sen, manakala paras rintangan pertama dan kedua pula masing-masing diunjur bergerak pada 89 sen dan 99 sen.
Katanya, saham ini membentuk struktur 'higher-lows' sejak paras terendah 52 minggu pada November 2025, selain melengkapkan corak 'bullish flag' yang menandakan potensi sambungan aliran menaik.
"Kami juga mengekalkan saranan 'jual' ke atas 3REN Berhad, dengan henti rugi 38 sen serta sasaran paras sokongan antara 32 sen dan 29 sen, dengan risiko penurunan dilihat masih tinggi," tambahnya.
Bagi niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO), Maybank IB memaklumkan harga gagal bertahan di atas purata pergerakan 200 hari, susulan tekanan jualan kembali meningkat dan risiko aliran menurun.
Sementara itu jelas firma tersebut, niaga hadapan KLCI (FKLI) kekal konstruktif secara teknikal apabila corak 'bullish flag' masih utuh, disokong faktor purata pergerakan yang terus condong ke atas.
Perkembangan positif berkenaan katanya, memberi isyarat yang trend menaik dalam jangka sederhana terus lagi berpotensi untuk bersambung dalam jangka masa terdekat. - DagangNews.com








