FBMKLCI susut 1% akibat tekanan saham perbankan, Maybank IB saran 'beli' Uzma dan Jati Tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBMKLCI susut 1% akibat tekanan saham perbankan, Maybank IB saran 'beli' Uzma dan Jati Tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Tekanan berterusan saham perbankan utama terus mengekang prestasi dagangan di pasaran tempatan apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup susut hampir 1% semalam.


Menurut analisis Maybank Investment Bank, indeks penanda aras utama itu merosot 16.40 mata atau 0.96% kepada 1,700.21 mata selepas mencatatkan jurang ke bawah bagi dua sesi secara berturut-turut.


Jelas firma penyelidikan tersebut, kaunter saham yang berwajaran tinggi seperti Public Bank Berhad, IHH Healthcare Berhad dan MR DIY Group (M) Berhad antara penyumbang utama penurunan berkenaan.


"Nisbah kaunter rugi mengatasi untung iaitu 1,039 berbanding 290, dengan kami menjangka FBMKLCI bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,710 mata sepanjang tempoh terdekat," katanya dalam nota itu.


Di sebalik pembetulan pasaran secara keseluruhan, Maybank IB berkata, peningkatan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat dilihat akan menyokong daya tahan dagangan sektor tenaga di bursa.


Kaunter berkenaan merekodkan kenaikan terbesar setakat 2026, dengan firma itu memilih Uzma Berhad berasaskan analisis teknikal susulan penembusan pada paras 42 sen dan lonjakan volum dagangan.


Harga sahamnya kini melepasi semua purata pergerakan utama, manakala penunjuk indeks kekuatan relatif (RSI) masih belum memasuki zon terlebih beli, menandakan potensi kenaikan lanjut selepas ini.


"Justeru, kami menyarankan 'beli' dengan paras henti rugi kaunter tersebut dicadangkan berlegar pada harga 38 sen, manakala rintangan bergerak sekitar 46 sen dan 51 sen," tambah Maybank IB lagi.


Selain itu, Jati Tinggi Group Berhad turut disyorkan sebagai 'beli' selepas pembetulan tajam sebelum ini menunjukkan tanda-tanda pembentukan asas harga berhampiran paras anjakan 38.2%.


Sementara itu, Guan Chong Berhad diberikan saranan 'jual' berasaskan analisis teknikal selepas gagal menembusi purata pergerakan 50 hari, dengan risiko menguji semula paras terendah 52 minggu.


Dalam pasaran komoditi pula kata Maybank IB, niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) aktif menunjukkan penembusan corak 'double-bottom' dan kini diniagakan sekitar RM4,146 satu tan metrik.


"Tambahan pula FCPO turut melepasi purata pergerakan eksponen (EMA) selama 21 hari dan purata pergerakan mudah (SMA) 50 hari yang mencerminkan momentum trend pemulihan berterusan," jelasnya.


Bagi niaga hadapan FBMKLCI (FKLI) ujar firma itu, kontrak semerta susut ke 1,675 mata, memadamkan keuntungan yang direkodkan sejak awal 2026, dengan bacaan RSI yang menghampiri zon terlebih jual.


Maybank IB meramalkan keadaan itu memberi petunjuk kemungkinan berlaku lantunan teknikal dalam masa yang terdekat, namun secara keseluruhan, ia melihat pasaran masih melalui fasa pembetulan.


Bagaimanapun katanya, peluang dagangan jangka pendek diramal wujud khususnya dalam sektor tenaga yang mendapat manfaat daripada sentimen global semasa. - DagangNews.com