KUALA LUMPUR 9 Feb – Indeks komposit utama Bursa Malaysia (FBMKLCI) lemah akibat pembetulan sepanjang minggu lalu susulan tekanan jualan pengambilan untung menjelang Tahun Baharu Cina.
Menurut TA Securities, kemerosotan tersebut turut dipengaruhi kebimbangan pasaran global yang meningkat, sekali gus menyaksikan indeks itu turun 8.05 mata atau -0.46% kepada 1,732.83 mata.
FBMKLCI jelasnya, mencapai paras tertinggi 87 bulan iaitu 1,771.25 mata pada minggu sebelumnya, namun susut disumbangkan antaranya Gamuda (-27 sen), YTL Power (-16 sen) dan RHB Bank (-31 sen).
Kenaikan saham Axiata (+9 sen) dan QL Resources (+13 sen) gagal mengekalkan indeks, malah purata dagangan harian jatuh kepada 3.17 bilion saham, dengan nilai dagangan turun kepada RM3.24 billion.
"Keadaan ini menandakan penyusutan kecairan pasaran dan tekanan jualan adalah biasa, dengan sejarah sejak 1991 menunjukkan 62.9% penurunan sebulan menjelang perayaan utama tersebut," kata firma itu.
Sebaliknya, tempoh dua minggu hingga sebulan selepas Tahun Baharu Cina kebiasaannya menyaksikan kenaikan indeks, dipacu oleh kepulangan pelabur runcit dan minat belian dari institusi tempatan.
Justeru TA Securities menyarankan pelabur mengambil peluang membeli saham pertumbuhan, saham nilai dan 'blue chip' ketika saham lemah, memandangkan trend pembetulan ini dilihat bersifat sementara.
Tambahnya, FBMKLCI disokong asas kukuh ekonomi Malaysia dan kepulangan minat pelabur asing secara beransur-ansur, menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025.
"Anggaran awal menunjukkan pertumbuhan kukuh 5.7% pada 4QFY25, yang mengangkat pertumbuhan tahunan penuh kepada 4.9%, sementara data industri diramal mengukuhkan lagi sentimen positif," katanya.
Aktiviti ekonomi domestik jelas TA Securities, seperti permintaan perayaan, pasaran buruh mantap, dan pelancongan yang berkembang juga dijangka menyokong pertumbuhan sektor perdagangan tempatan.
Firma itu menambah, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun Indeks Peneraju November 2025 menunjukkan sedikit pelemahan apabila hanya meningkat kira-kira 0.2% sahaja tahun ke tahun (YoY).
Fokus berterusan pada peningkatan produktiviti, sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perkhidmatan digital dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan.
"Sehubungan itu, kami optimis meramalkan peningkatan sebanyak 5.4% YoY untuk sepanjang tempoh suku pertama tahun ini, manakala kira-kira 4.3% hingga 4.7% untuk keseluruhan 2026," kata TA Securities.
Dari sudut global pula jelasnya, data inflasi daripada China serta laporan pekerjaan dan inflasi di pasaran Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini diangka boleh mempengaruhi sentimen pelabur tempatan.
TA Securities menilai pembetulan pasaran Malaysia lebih bersifat rehat sementara daripada pembalikan trend, dan menawarkan peluang strategik untuk pelabur semasa fasa penyatuan. - DagangNews.com








