Exsim Hospitality menang kontrak kerja dalaman taman tema air RM54.5 juta daripada Aqua Empire | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim Hospitality menang kontrak kerja dalaman taman tema air RM54.5 juta daripada Aqua Empire

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 MacExsim Hospitality Berhad menerusi anak syarikatnya, Exsim Concepto Sdn Bhd (ECSB) menerima kontrak bernilai RM54.5 juta bagi kerja dalaman taman tema air secara turnkey.


Kumpulan tersebut berkata, surat penganugerahan (LOA) tender itu yang bertarikh 27 Februari 2026 tersebut dan diserahkan oleh Aqua Empire Sdn Bhd (AESB) sudah diterima pada 2 Februari 2026.


Kontrak berkenaan melibatkan skop reka bentuk, pembekalan, fabrikasi, pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan, termasuk kerja-kerja penyelenggaraan serta jaminan bagi pembangunan taman tema.


"Tempoh pelaksanaan projek tersebut adalah selama 12 bulan yang bermula 2 Mac 2026 dan dijadualkan siap pada 1 Mac 2027," tambah Exsim Hospitality dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Sementara tempoh liabiliti kecacatan pula ditetapkan selama 12 bulan dari tarikh Perakuan Siap Kerja Praktikal atau sehingga semua kecacatan berkenaan diperbaiki, atau mana-mana yang lewat.


ECSB yang berpangkalan di Kuala Lumpur jelasnya, terlibat aktif dalam penyediaan perkhidmatan pengubahsuaian khusus termasuk pemasangan reka bentuk tertentu bagi aset hartanah hospitaliti.


AESB pula kata Exsim Hospitality, berpengalaman luas dalam menjalankan pelbagai perniagaan pengoperasian, pengurusan dan pembangunan taman tema air serta fasiliti rekreasi yang berkaitan.


"Menurut lembaga pengarah, penerimaan kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, hasil sesaham serta kedudukan gearan kumpulan sepanjang tempoh projek," katanya.


Syarikat itu tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan kontrak dan akan mengambil langkah mitigasi sewajarnya sekiranya diperlukan.


Penerimaan LOA juga tidak tertakluk kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia, dan tiada melibatkan pengarah atau pemegang saham utama. - DagangNews.com