EXSIM Hospitality Berhad, Majestic Gen sasar urus 3,000 unit penginapan dalam tempoh 4 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EXSIM Hospitality Berhad, Majestic Gen sasar urus 3,000 unit penginapan dalam tempoh 4 tahun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac – EXSIM Hospitality Berhad (EHB) mengumumkan kerjasama strategik dengan Majestic Gen Group bagi memperluaskan platform operasi hospitaliti mereka di seluruh Malaysia.

 

Kerjasama ini melibatkan jenama milik EHB, Mana Mana Hospitality, yang menguruskan penginapan jangka pendek, resort gaya hidup dan hotel hasil kerjasama dengan pemilik hartanah.

 

Di bawah perjanjian ini, Mana Mana Hospitality akan mengendalikan pembangunan terpilih milik Majestic Gen, dengan potensi melebihi 3,000 unit penginapan dalam tempoh empat tahun. 

 

Penyertaan dalam program pengurusan hospitaliti ini adalah pilihan bagi pemilik rumah.

 

Pengarah Urusan EXSIM Hospitality Berhad, Tan Hai Liang berkata perkongsian ini mengekalkan momentum syarikat dalam membina platform hospitaliti berskala besar. 

 

"Dengan lebih 3,000 unit bilik, rumah dan premis penginapan, kerjasama ini memperkukuh unjuran pendapatan kami dan membolehkan model pengendalian hospitaliti ini diterapkan merentasi pelbagai jenis aset," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Mana Mana Hospitality,  Debbie Leow berkata perkongsian ini membolehkan syarikat menambah kepakaran dari penginapan jangka pendek ke resort dan hotel.

 

“Fokus utama kami adalah memastikan prestasi operasi yang konsisten, mengoptimumkan pulangan aset, dan menjadikan Mana Mana Hospitality pilihan utama pengendali hospitaliti untuk pembangunan berskala besar,” katanya.

 

Bagi Majestic Gen, perkongsian ini sejajar dengan visi mereka untuk membangunkan projek mampan, berkualiti tinggi dan inovatif di seluruh negara. 

 

Program pengurusan hospitaliti ini ditawarkan sebagai pilihan kepada pemilik hartanah, selaras dengan kedudukan setiap projek.

 

Kerjasama ini juga sejajar dengan visi EHB untuk membina ekosistem hospitaliti yang mampan, meningkatkan aliran pendapatan berulang dan memanfaatkan peluang jangka panjang dalam pasaran pelancongan dan penginapan gaya hidup Malaysia yang berkembang.- DagangNews.com