KUALA LUMPUR 16 Jun - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenal pasti enam syarikat yang didakwa terlibat dalam aktiviti kartel tipu bida membabitkan satu tender bekalan makanan bernilai RM5.7 juta oleh Agensi Antidadah Kebangsaan.
MyCC berkata, hasil siasatan awal mendapati terdapat elemen penyelarasan bidaan, pertukaran maklumat serta tindakan bersekongkol antara syarikat-syarikat terbabit yang dipercayai menjejaskan proses persaingan sihat dalam tender tersebut.
“Perbuatan ini membabitkan perjanjian atau amalan yang mempunyai tujuan untuk menghalang, menyekat atau memesongkan persaingan secara signifikan dalam pembekalan makanan mentah, segar dan kering,” menurut kenyataan MyCC hari ini.
Tindakan itu melibatkan tender di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (National Anti-Drugs Agency), yang bertanggungjawab terhadap perolehan bekalan makanan bagi tujuan operasi agensi berkenaan.
MyCC menegaskan, amalan kartel tipuan bida merupakan pelanggaran serius di bawah Seksyen 4(1) bersama Seksyen 4(2)(d) dan Seksyen 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712], yang boleh menjejaskan integriti sistem perolehan awam serta membabitkan ketirisan dana negara.
Agensi itu turut memaklumkan, keputusan cadangan telah dikeluarkan terhadap semua syarikat terlibat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Bukan Keputusan Muktamad
MyCC menjelaskan, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal berdasarkan siasatan menyeluruh dan bukan keputusan muktamad terhadap kesalahan syarikat-syarikat terbabit.
Kesemua syarikat yang dinamakan telah dimaklumkan mengenai cadangan penalti dan arahan serta diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis selepas menerima notis berkenaan.
Mereka juga akan diberikan peluang untuk membuat representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
MyCC berkata keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas menilai sepenuhnya semua hujahan serta bukti yang dikemukakan sepanjang proses siasatan dan representasi tersebut. - DagangNews.com








