KUALA LUMPUR 29 Jan – Elridge Energy Holdings Bhd sedang menilai peluang kerjasama strategik dengan Green Stream LLC dari Arab Saudi bagi meneroka pasaran antarabangsa baharu untuk rumusan biomas dan tenaga boleh diperbaharuinya.
Elridge Energy mengesahkan kedua-dua pihak telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) yang membolehkan mereka menilai potensi kerjasama di Arab Saudi
"Ini termasuk ujian teknikal serta penilaian komersial bagi aplikasi biomas dan tenaga daripada sisa," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, penilaian akan memberi tumpuan kepada pengenalpastian rumusan tenaga boleh diperbaharui yang menyokong agenda kepelbagaian tenaga dan kelestarian, selain kekal berdaya maju dari sudut komersial dalam pasaran Arab Saudi.
Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo berkata, MOU tersebut merupakan langkah awal untuk menilai peluang di luar pasaran sedia ada kumpulan.
“Arab Saudi dan rantau Timur Tengah secara keseluruhan menawarkan landskap baharu yang sedang berkembang untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui. Kerjasama ini membolehkan kami memahami dengan lebih mendalam keperluan pasaran serta pertimbangan pelaksanaan di peringkat tempatan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif itu sejajar dengan strategi Elridge Energy untuk memperluaskan jejak antarabangsa sambil memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam rumusan biomas dan tenaga lestari.
Dalam perkembangan berkaitan, Elridge Energy turut memaklumkan kumpulan itu baru-baru ini menyertai IFAT Saudi Arabia di Riyadh, iaitu pameran khusus bagi teknologi sisa, air dan alam sekitar.
Menurutnya, penyertaan tersebut membuka peluang untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan serantau, sekali gus membantu kumpulan memahami rangka kerja kawal selia, keperluan projek serta dinamik permintaan bagi rumusan alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui di rantau berkenaan. - DagangNews.com








