Ekonomi Malaysia 4Q25 diramal dapat melepasi 6%, atasi unjuran awal DOSM – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia 4Q25 diramal dapat melepasi 6%, atasi unjuran awal DOSM – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb — Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh suku keempat 2025 diramal dapat melepasi paras 6% tahun ke tahun (YoY), menurut TA Securities.


Tambah firma penyelidikan tersebut, sekiranya menjadi kenyataan, angka berkenaan sekali gus mengatasi anggaran awal yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu sebanyak 5.7%, 


Katanya, petunjuk makroekonomi terkini yang dikeluarkan agensi itu menunjukkan momentum ekonomi kekal kukuh tanpa sebarang risiko penurunan besar sama ada dari sudut domestik mahupun luaran.


"Indeks Volum Perkhidmatan, yang menjadi pemacu utama ekonomi, berkembang 6.5% YoY kepada 167.7 mata pada 4Q25, lebih tinggi berbanding 5.5% pada tempoh 3Q25," kata TA Securities dalam notanya.


Berdasarkan rekod sejarah, firma berkenaan menjangkakan sektor perkhidmatan berpotensi untuk terus mencatat pertumbuhan sekitar 6.4% YoY, yang turut melebihi anggaran awal hanya 5.4% oleh DOSM.


Subsektor perkhidmatan lain-lain mendahului pertumbuhan dengan naik 8.6% YoY, diikuti perdagangan borong dan runcit, makanan dan penginapan (5.2% YoY), komunikasi dan pengangkutan (5.1% YoY).


Sementara kewangan, hartanah dan perkhidmatan profesional meningkat 4.6% YoY, namun TA Securities menilai prestasi ini sebagai daya tahan pengguna berbelanja dan aktiviti perkhidmatan domestik.


"Di pihak permintaan, Indeks Perdagangan Edaran yang menjadi proksi kepada perbelanjaan penggunaan swasta meningkat 5.8% YoY pada 4Q25, berbanding hanya kira-kira 4.8% pada suku sebelumnya itu.


Pertumbuhan ini menurut firma berkenaan, didorong kukuh oleh faktor jualan kenderaan bermotor yang melonjak sebanyak 8.4% YoY, diikuti perdagangan borong (6.6% YoY) dan peruncitan (4.6% YoY). 


Dari segi nilai pula jelas TA Securities, indeks tersebut mencecah RM163.7 bilion pada Disember 2025, naik 7.6% YoY, disokong cuti persekolahan serta musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2026.


Ia berkata, momentum pertumbuhan turut disokong faktor bermusim termasuk bantuan tunai di bawah program SARA, peningkatan perjalanan pada hujung tahun dan perbelanjaan berkaitan pelancongan.


"Sekiranya pertumbuhan 4Q25 melepasi 6% seperti dijangka, pertumbuhan penuh bagi 2025 kemungkinan melepasi paras 5%, mengatasi unjuran Kementerian Kewangan sebanyak 4.0% hingga 4.8%," tambahnya.


Angka tersebut adalah sedikit lebih tinggi daripada anggaran kira-kira 4.9% oleh DOSM dan TA Securities sendiri, namun data rasmi KDNK untuk 4Q25 dijadual diumumkan pada 13 Februari 2026.


Bagi 2026, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada kadar 4.3% hingga 4.7%, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan dan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).


Proses pemulihan perdagangan luar secara berterusan juga menyokong ekonomi tempatan, tetapi sebarang semakan unjuran itu akan dibuat selepas data rasmi 4Q25 diumumkan. - DagangNews.com