Edra Power, Worldwide Holdings bina projek solar terapung terbesar Malaysia 300MW di Bestari Jaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Edra Power, Worldwide Holdings bina projek solar terapung terbesar Malaysia 300MW di Bestari Jaya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb – Pembinaan Projek Solar Skala Besar Bestari berkapasiti 300MWac di Bestari Jaya, Kuala Selangor kini bermula, menjadikannya ladang solar terapung terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara apabila siap kelak.

 

Dibangunkan di bawah program Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5), projek ini dijangka menyumbang kepada peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui negara serta menyokong sasaran nasional mencapai 40 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035. 

 

Selain itu, ia turut memperkukuh ekonomi hijau negeri Selangor melalui penggunaan tanah lestari, tarikan pelaburan, serta manfaat sosio-ekonomi jangka panjang.

 

 

 

 

 

Projek ini dianugerahkan kepada Bestari Solar Sdn Bhd (BSSB), konsortium yang diterajui Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn Bhd, yang menggabungkan pengawasan strategik kerajaan negeri, kepakaran tenaga bersih antarabangsa, serta keupayaan kejuruteraan tempatan.

 

Edra, anak syarikat CGN Energy International Holdings Co., Limited (CGNEI) yang dimiliki sepenuhnya oleh China General Nuclear Power Corporation (CGN), merupakan salah satu kumpulan tenaga bersih terkemuka di China dengan portfolio merangkumi nuklear, solar, angin dan aset tenaga boleh diperbaharui lain. 

 

Projek Solar Bestari menandakan pembangunan fotovoltaik terapung pertama bagi CGN dan CGNEI, sekaligus menjadi rujukan pembangunan solar terapung masa depan di rantau ini.

 

t
Zhang Chaoqun 

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri mengutamakan pelaburan yang memberi nilai jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat tempatan.

 

“Projek Solar Bestari bukan sahaja menyokong peralihan tenaga negara, malah melambangkan komitmen Selangor terhadap ekonomi rendah karbon dan memperkukuh daya tahan tenaga untuk pertumbuhan masa depan,” katanya ketika berucap di majlis pecah tanah projek pembinaan tersebut.

 

Pengerusi CGNEI, Zhang Chaoqun pula berkata projek terapung ini menuntut keperluan teknikal unik termasuk pemasangan di atas permukaan air, sistem penambatan khusus dan pengurusan aset jangka panjang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB Datin Paduka Norazlina Zakaria pula berkata projek ini seiring mandat syarikat bagi memacu inisiatif tenaga strategik yang menyokong hala tuju ekonomi hijau Selangor. 

 

“Fokus utama projek adalah pelaksanaan selamat, tepat pada jadual dan berkualiti bagi merealisasikan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebenar,” katanya.

 

Dengan kapasiti terpasang 460 MWp, projek ini dijangka menjana kira-kira 640,000 MWh tenaga elektrik bersih setiap tahun, cukup untuk membekalkan lebih 150,000 isi rumah serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan keselamatan tenaga negara. 

 

Selain penjanaan tenaga, projek ini dijangka merangsang pelaburan, pembangunan aktiviti perindustrian, serta pemulihan tanah bekas perlombongan, selain memperkukuh keupayaan syarikat tempatan merentasi rantaian nilai tenaga boleh diperbaharui.

 

 

 

 

 

 

Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi projek ini telah ditandatangani pada Mac 2025 dengan tempoh 21 tahun, menjamin bekalan tenaga boleh diperbaharui yang stabil ke grid nasional.

 

Setakat Julai 2025, kapasiti operasi tenaga boleh diperbaharui Malaysia berjumlah 4.57 GW, mewakili kira-kira 17 peratus kapasiti terpasang negara, dengan solar sebagai penyumbang terbesar. Program LSS5 dengan peruntukan sehingga 2,000 MW dijangka memperkukuh industri solar tempatan dan merangsang aktiviti ekonomi.- DagangNews.com